Ribut dahsyat terjah Lapangan Terbang Yaman

Gambar rakaman video menunjukkan penumpang di lapangan terbang Aden bertempiaran menyelamatkan diri apabila dinding kaca di terminal Lapangan Terbang Aden. Yaman runtuh akibat dilanda ribut pada awal pagi Isnin , 24 Jul 2023. (FOTO: YouTube/AhramOn line)
- Advertisement -

ADEN: Ribut dahsyat yang melanda pintu kaca lapangan terbang utama di Selatan Yaman mencederakan enam penumpang, merosakkan beberapa pesawat dan memaksa syarikat penerbangan membatalkan dua penerbangan.

Insiden di Lapangan Terbang di Aden pada Isnin (24 Jul) adalah berikutan hujan lebat dan angin monsun musim panas kencang, yang mengakibatkan banjir kilat dan hujan lebat di negara-negara yang terdedah kepada perubahan iklim.

- Advertisement -

“Mangsa yang cedera termasuk empat kanak-kanak, apabila dinding kaca di terminal lapangan terbang runtuh akibat ribut awal Isnin,” kata seorang pegawai yang bertugas di lapangan terbang itu.

“Dua penerbangan –  satu ke Jeddah, Arab Saudi, dan satu lagi ke Kaherah, Mesir, terpaksa dibatalkan,” tambah pegawai lapangan terbang itu, yang mahu namanya dirahsiakan kerana tidak diberi kuasa untuk memberi taklimat kepada media, lapor Arab News.

Sementara, Pengarah Lapangan Terbang Aden, Abdul Raqeeb Al-Omari dalam kenyataanya kepada agensi berita Yaman, Saba berkata, ribut itu juga telah merosakkan dua pesawat dan memusnahkan beberapa dinding yang mengelilingi beberapa fasiliti  lapangan terbang berkenaan.

Terdahulu, pertubuhan Inisiatif Penyesuaian Global dari University of Notre Dame meletakkan Yaman sebagai salah satu negara yang paling terdedah kepada perubahan  iklim ekstrem  di rantau tersebut.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Yaman telah menyaksikan peningkatan dalam kekerapan dan intensiti hujan musim panas, disebabkan oleh perubahan iklim yang bertindak ke atas peredaran atmosfera di Lautan Hindi.

Menurut laporan bulan Mei oleh International Committee of the Red Cross (ICRC) dan Norwegian Red Cross, negara termiskin di Semenanjung Arab itu telah dilanda enam taufan dalam tempoh enam tahun lalu, meningkat daripada empat taufan dalam 25 tahun sebelumnya.

Laporan itu berkata, Yaman yang bergelut dengan konflik politik selama lapan tahun itu dilanda banjir besar pada 2019, 2020 dan 2021. – HARAKAHDAILY 25/7/2023

- Advertisement -