Hutang tak boleh dijadikan industri jana untung 

Prof Mohd Nazari Ismail

KUALA LUMPUR: Amalan hutang seharusnya tidak boleh dijadikan sebagai sebuah industri membuat sebarang keuntungan.

Pakar ekonomi Islam bebas, Prof Mohd Nazari Ismail berkata, istilah hutang dalam Islam adalah bersifat kebajikan yang mana berhutang digunakan hanya untuk perkara-perkara keperluan dan kecemasan.

“Namun, tidak boleh ambil apa pun keuntungan apabila seseorang atau pihak memberikan hutang kerana apa sahaja hutang yang memberikan keuntungan ialah riba dan jelas haram dalam Islam,” katanya.

Advertisement

Beliau menyatakan bahawa  kenaikan kos kehidupan yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada menjadikan hutang sebagai membuat keuntungan yang dilakukan oleh setiap bank.

“Sama ada bank konvensional dan Islamik sekalipun tetap menjadi punca utama kepada setiap kenaikan kos kehidupan yang berlaku pada masa ini yang mana mereka menjadikan hutang untuk membuat macam-macam keuntungan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya berjudul,  Kos Sara Hidup dan Industri Hutang yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya, di sini,  hari ini.

Seramai 64 orang hadir di dalam ceramah tersebut yang mana seorang daripadanya merupakan seorang bekas pakar perbankan Islam, Nik Mahani Mohamad.

Dalam ceramah tersebut, beliau turut menyatakan sesiapa sahaja mengambil pinjaman daripada bank turut menyumbang kepada kenaikan kos kehidupan.

Menurut beliau, apabila sesiapa sahaja meminjam dengan mana-mana bank untuk membeli rumah, kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya akan menyumbang kepada lambakan wang yang beredar di dalam negara ini.

“Ini kerana setiap kali pinjaman dibuat terhadap bank, maka wang baharu akan diwujudkan memandangkan mereka membuat keuntungan daripada apa sahaja pinjaman yang dilakukan,

“Kesannya, itu yang berlakunya menyumbang kepada setiap kenaikan kos sara hidup termasuklah kenaikan harga rumah dan harga barang yang berlaku pada masa ini yang menyebabkan kehidupan rakyat biasa semakin terbeban,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai penyelesaian yang boleh diambil, beliau menasihatkan setiap rakyat untuk elakkan berhutang dengan mana-mana industri hutang.

Beliau menyatakan seseorang boleh meminjam dengan ahli keluarga yang berkemampuan tetapi hanya untuk keperluan mendesak dan tidak lupa membayar semula pinjaman tersebut tepat pada masanya.

“Nasihat saya, elakkan berhutang dengan mana-mana industri hutang walau apa pun kerana kita tidak mahu menyumbang lagi kepada kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada masa ini,

“Boleh amalkan alternatif seperti menyewa rumah, beli kereta terpakai dan kehidupan yang tidak bersifat materialistik kerana sifat materialistik yang menyumbang kepada amalan suka berhutang dengan industri-industri sebegini,” jelasnya.

Tambahan pula, beliau tidak mahu melihat semakin ramai rakyat merana akibat dibelenggu hutang-hutang yang dikenakan oleh setiap industri hutang.

“Jadi, nasihat saya boleh diamalkan oleh setiap rakyat biasa walau apa pun kerana ianya praktikal dan jika masih ada yang berdegil maka jangan terkejut apabila kehidupan sendiri akan semakin terbeban,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2023