ALOR SETAR: Baddrol Bakhtiar – antara ikon bola sepak terkenal tanah air, terutama dalam kalangan anak muda, disebut-sebut sebagai antara calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Walaupun ‘penghijrahannya’ dari arena bola sepak ke medan politik masih menjadi tanda-tanya, terutama kepada peminat sukan bola sepak, namun ramai yang telah menghidu namanya bakal dicalonkan pada PRN ini.
Pada masa yang sama, bekas kapten bola sepak dengan jersi nombor tujuh bertaraf nasional ini tidak memberikan jawapan tuntas kepada persoalan ini.
“Kalau sebelum ini saya bermain untuk lencana di dada, hari ini saya berjuang untuk iman di dada,” demikian kata bersemangat anak muda berusia 36 tahun yang sanggup melepaskan kemewahan sebagai pemain bola sepak terkemuka demi perjuangan Islam.
Keputusan menamatkan kerjaya bola sepak, katanya adalah untuk berbakti kepada agama, negeri serta rakyat Kedah dan seterusnya memastikan PN kekal menerajui Kedah pada PRN ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah ikon dan inspirasi buat Baddrol yang bertekad mengejutkan peminat bola sepak tanah air.
“Saya sebenarnya kagum dengan Sanusi. Salah satu sebab kenapa saya ‘berhijrah’ dari arena bola sepak dan menyertai politik kerana melihat kesungguhan, keberanian dan kewibawaannya menerajui Kedah.
“Malah hubungan saya bersama beliau sejak dahulu lagi memang baik dan akrab,” jelasnya.
Namun sejauh mana kebenaran ini, orang ramai akan mendapat jawapan pada 26 Julai ini, iaitu pada majlis pengisytiharan calon-calon PN Kedah di Kompleks PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 24/7/2023