ARAU: Tekanan berterusan terhadap PAS dan parti komponen gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak akan melemahkan semangat perjuangan gabungan tersebut bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin berkata, tekanan itu secara tidak langsung menarik simpati lebih besar orang Melayu dan bukan Islam bagi memberi sokongan kepada PN.
Katanya, keadaan sebaliknya berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sehingga mengundang kemarahan rakyat.
“Kemunculan Dato’ Seri Muhammad Sanusi yang ditekan kerajaan sekarang secara tidak langsung menarik simpati rakyat.
“Tidak siapa pernah jangka namun Allah SWT tentukan. Kemampuan dia (Sanusi) berkorban masa, tenaga dalam perjuangan sangat membantu parti tidak ternilai.
“Sanusi sekarang dianggap hero Malaysia. Aura dan pengaruhnya cukup kuat dan ia tidak boleh dinafikan lagi,” katanya ketika ditemui di sini.
Jam 3 pagi Selasa lepas Sanusi ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis ketika menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat PN. Beliau kemudian didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan.
Ustaz Hashim juga berkata, tindakan kerajaan Madani terhadap Sanusi tidak sama sekali melemahkan PAS atau PN, malah lebih menguatkan lagi parti itu khususnya di Kedah. – HARAKAHDAILY 21/7/2023