
SEOUL: Seorang terbunuh dan tiga lagi cedera apabila seorang lelaki mengamuk berhampiran stesen kereta api bawah tanah di ibu negara Korea Selatan, Seoul.
Insiden itu berlaku pada hari ini, Jumaat (21 Jul) berhampiran Stesen Kereta Api Bawah Tanah Sillim dan suspek yang menggunakan senjata tajam telah ditahan, lapor agensi berita Yonhap.
“Lelaki itu menggunakan senjata tajam dipercayai sebilah pisau berhampiran Pintu Keluar 4 stesen kereta api bawah tanah pada jam 2:07 petang (0507 GMT),” lapor Yonhap pada hari ini, dengan serangan itu telah menyebabkan seorang maut dan tiga yang lain cedera.
Video yang disiarkan di saluran YouTube stesen televisyen tempatan, YTN menunjukkan respondens unit kecemasan berpakaian jingga berlari ke arah lokasi kejadian membawa pengusunh, dengan rakaman itu juga menunjukkan pihak polis telah mengepung kawasan itu dengan pita kuning.
Korea Selatan biasanya adalah negara yang sangat selamat, yang menurut statistik rasmi 2021 negara itu menunjukkan kadar pembunuhan hanya 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk.
Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat merekodkan 7.8 kematian akibat pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk.
Insiden yang jarang berlaku di Seoul dengan cepat mula tersebar di media sosial berbahasa Korea.
“Jangan datang ke Sillim sekarang. Ada seorang lelaki gila mengamuk dan menikam orang ramai. Saya menghubungi polis selepas melihat orang cedera dan jatuh di atas tanah,” tulis seorang pengguna pengguna media sosial dikenali sebagai sanong_cos di Twitter. – HARAKAHDAILY 21/7/2023