DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh rakyat termasuklah dalam kalangan bukan-Islam bersatu di bawah payung kesatuan ummah. Hanya dengan bersatu di bawah satu wadah yang sama dan jitu sahaja akan menyelamatkan negara daripada kerosakan pemerintahan PH-BN yang berterusan.
Politik tanah air terus dibelenggu dengan suasana politik yang berkecamuk. Malang sekali apabila mereka yang diberikan kuasa untuk memerintah negara tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Banyak masa hanya dihabiskan untuk melemahkan musuh politik dengan politik fitnah.
Lebih malang lagi spektrum 3R iaitu Raja, Rasis dan Religion (agama) dijadikan alasan untuk menghentikan perjuangan politik lawan. Apakah hari ini politik tidak lagi membawa wadah mempertahankan raja, agama dan bangsa? Malangnya dalam masa yang sama, kenyataan-kenyataan hasutan yang terkandung dalam spektrum 3R tidak diambil tindakan segera.
Oleh sebab itu, DUPP menyeru seluruh rakyat supaya kembali bertaut di atas satu prinsip perjuangan dan kesatuan yang jitu. Sudah sampai masanya wacana Penyatuan Ummah diangkat semula dalam wacana politik negara. Inilah kestabilan dan kekuatan sebenar politik tanah air yang tercinta ini.
YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
2 Muharam 1445 Hijri | 20 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 20/7/2023
Hanya Penyatuan Ummah penyelamat negara
- Advertisement -