KOTA BHARU: Kerajaan Madani dilihat menggunakan instrumen undang-undang bagi menekan lawan politik yang memperlihatkan wajah sebenar kerajaan campuran yang ada sekarang.
Psikososio dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Zulkeflee Yaacob berkata, dahulu pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini sering mengkririk sekatan kebebasan bersuara dan menggelarkan undang-undang sedia ada sebagai ‘undang-undang rimba’.
Sebaliknya kata beliau selepas memiliki kuasa politik mereka bertindak lebih teruk lagi sehingga laungan demokrasi hilang entah ke mana.
“Tndakan ke atas Menteri Besar Kedah menggunakan segala jentera kerajaan memperlihatkan kecederungan menyalahgunakan kuasa dengan menyekat kebebasan bersuara.
“Ketika siasatan dikatakan belum siap tetapi terus buat tangkapan pada jam 3 pagi dan terus didakwa di mahkamah,” katanya di sini.
Semalam Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan jam 3 pagi oleh kira-kira 20 pegawai dan anggota polis ketika menginap sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Malah diviralkan dalam media sosial deretan kenderaan FRU ditempatkan di lokasi tidak jauh dari mahkamah tempat Sanusi didakwa.
Menteri Besar Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang dengan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap raja.
Dr Zulkeflee juga berkata, pendakwaan menggunakan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, dilihat bertentangan dengan janji reformasi yang pernah dilaungkan pemimpin Kerajaan Madani.
Menurutnya juga cadangan kerajaan mewujudkan peraturan atau Akta 3R perlu diteliti dari aspek frasa dan istilah 3R tidak iltizam bawah fasal 152, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan.
Kata beliau 3R (race, religion, royal) bukan akronim dan singkatan malah bertentangan prinsip morfologi dalam bahasa Melayu.
“Jika perlu juga wujud Akta 3R mesti diklasifikasikan sebagai glosari yang lebih gramatis dalam pembinaan kata dan istilah dan perlu ditakrif dengan mantap dalam akta kelak,” ujarnya.
Oleh itu katanya penggubalan akta itu kelak mesti selaras perkara fasal 3, dan fasal 160 tentang status Islam dan Melayu yang jelas tidak menyebut bangsa lain secara rinci dalam perlembagaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 19/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!