KOTA BHARU: Bagi memberi keselesaan kepada orang ramai Stesen Bas Ekspress di Lembah Sireh di sini dibaik pulih sejak beberapa bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato Dr Izani Husin berkata, kerja-kerja naik taraf itu melibatkan penambahan terminal bas baharu, membaik pulih bumbung terminal serta pembinaan ruang menunggu penumpang.
“Alhamdulillah usaha tersebut telah siap dan ia sudah dapat dimanfaatkan orang ramai khususnya penumpang bas ekspress dan pengunjung.
“Alhamdulillah, setakat ini belum kedengaran rungutan daripada penumpang terutamanya pada cuti sambutan Hari Raya Aidiladha baru baru ini,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerja-kerja penurapan jalan dan landskap turut dibina, serta menambah baik surau, tempat wuduk dan tandas bagi keselesaan pengguna.
Dr Izani juga berkata, Stesen Bas Lembah Sireh bakal digantikan dengan pembangunan KB Sentral yang akan menjadi hub pengangkutan bersepadu yang sedang dimajukan di Tunjong. – HARAKAHDAILY 16/7/2023