Pondok, sekolah YIK benteng pertahan akidah umat Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selain institusi pondok yang banyak di Kelantan, sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut menjadi benteng utama mempertahankan akidah umat Islam daripada ancaman fahaman songsang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Ahmad Yakob berkata, penularan ideologi bertentang Islam semakin ketara kebelakangan ini dan menjadi cabaran paling besar kepada umat Islam.

Katanya, komitmen kerajaan negeri melalui dasar Membangun Bersama Islam serta falsafah pendidikan menerusi Dasar Pendidikan Rabbani menjadi penghalang ancaman terbabit.

“Melalui dasar tersebut kita mendidik anak Kelantan dan membendung cara hidup sesat seperti liberal yang diperjuangkan pemimpin politik tertentu.

“Ini merupakan keadaan yang membimbangkan kita, tetapi alhamdulillah Kelantan walaupun tidak sehebat negeri lain, kita ada kekuatan untuk menerapkan falsafah pendidikan wahyu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Yayasan Islam Kelantan Tahun 2023 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan lagi pelaksanaan dasar pendidikan terbabit melalui institusi antaranya Yayasan Amanah Tok Kenali dan Institut Pemikiran Tok Guru.

Bahkan kata beliau dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam berteraskan konsep Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) menjadi sandaran utama bagi pelaksanaan dasar pendidikan rabbani.

Menurutnya juga kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS tetap komited untuk terus memperkasakan sektor pendidikan Islam.

“Kita sedang berusaha melalui agensi kerajaan negeri untuk menerapkan lebih luas lagi dasar itu untuk membolehkan semua pihak faham konsep pendidikan rabbani.

“Konsep UMI menjadi sandaran untuk kita terus bergerak ke hadapan dengan pengalaman lebih 30 tahun menjadi sandaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!