SHAH ALAM: Tiada hala tuju yang jelas kerajaan Malaysia Madani bagi menghadapi penurunan nilai ringgit menyebabkan berlaku kenaikan harga terutamanya barangan import.
Pakar kewangan Roslee Jusoh berkata, kenaikan harga barangan merupakan kesan daripada penurunan nilai ringgit yang berlaku sekarang.
Katanya, kesannya turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar terutamanya di Selangor.
“Penurunan nilai ringgit turut memberi kesan kepada kos import. Perkara itu menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan keperluan asas termasuk ayam.
“Apabila harga import makanan ayam meningkat, ia turut menyumbang kepada kenaikan harga ayam. Dan ia boleh mengundang berlaku masalah sosial termasuk kehilangan pekerjaan.
“Malah kajian penganalisis kewangan di bank melihat peniaga kecil dan sederhana (SME) ramai akan lingkup kerana tidak mampu bayar hutang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Pleno Situasi Ekonomi Negara pada Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di IDCC hari ini.
Turut hadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute TSIS Prof Madya Dr Hanif Yaacob, Akauntan Forensik Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Penasihat Korporat Menteri Besar Terengganu (Incorporated) Mazli Zakuan Noor.
Roslee juga berkata, kerajaan tidak mempunyai solusi yang jelas menyebabkan nilai ringgit terus merosot, di mana sekarang RM4.68 bersamaan 1 Dolar AS.
“Sedangkan hala tuju perjalanan ekonomi sesebuah negara ditentukan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!