Rusia, China, Indonesia selaras keselamatan makanan, tenaga

Wang Yi (kiri), Retno Marsudi (tengah) dan Sergey Lavrov ketika mengadakan mesyuarat tiga hala mereka di luar Mesyuarat Menteri Luar Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia pada 12 Julai 2023. (FOTO: Anadolu Agency)
- Advertisement -

JAKARTA: Rusia mengesahkan ia kini bersedia untuk menyelaraskan usaha dengan China dan Indonesia mengenai isu keselamatan makanan dan tenaga semasa pertemuan antara diplomat tertinggi ketiga-tiga negara.

Kementerian Luar Rusia berkata, Menteri Luar Negeri Persekutuan Rusia, Sergey Lavrov telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pejabat Suruhanjaya CPC (Parti Komunis China) Jawatankuasa Pusat Hal Ehwal Luar Negeri, Wang Yi dan  Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi  di luar acara menteri ASEAN, semalam, Rabu (12 Julai).

- Advertisement -

Kenyataan itu berkata pertemuan ketiga-tiga mereka memberi tumpuan kepada isu mengenai pengukuhan kerjasama tiga hala untuk memastikan keselamatan makanan dan tenaga berdasarkan trend krisis semasa di pasaran dunia.

“Ketiga pihak  tersebut mengesahkan kesediaan mereka untuk menyelaraskan usaha ke arah ini, termasuk demi kepentingan meningkatkan kestabilan ekonomi ‘Selatan Global’ atas dasar penghormatan oleh semua negara terhadap prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama dalam hubungan ekonomi dunia,” ujar kenyataan itu, lapor Anadolu Agency.

Ia juga berkata bahawa ketiga-tiga mereka telah bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa masalah penting antarabangsa dan serantau, sambil menambah bahawa tugas-tugas yang bertujuan untuk mengukuhkan ‘seni bina keselamatan dan kerjasama ASEAN  di rantau Asia-Pasifik’ telah dibincangkan.

“Sergey Lavrov dan Wang Yi menyokong usaha Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memajukan tugas-tugas ini semasa mesyuarat menteri yang akan datang di Jakarta dalam rangka kerja Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN,” tambah kenyataan itu.

Menjelang pertemuan itu, Lavrov turut mengadakan perbincangan dengan Marsudi, yang menyaksikan mereka memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala, pembentukan seni bina keselamatan di rantau Asia-Pasifik, dan promosi perkongsian antara Rusia dan ASEAN.

Lavrov tiba di Indonesia lebih awal pada Rabu untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-56 dan mesyuarat lain yang berkaitan.

- Advertisement -