MUSIM pilihan raya kembali bergelombang, menaufan kuat di enam buah negeri Semenanjung. Wajah-wajah yang lama menghilang tiba-tiba muncul di kedai kopi, masjid, surau, beragam program menyantuni rakyat.
Pemilik “muka tembok” ini dengan mulut manis menabur janji, acah-acah mesra rakyat mengelus rambut anak-anak kecil, melambai-lambai tangan daripada jendela kereta, bersedekah di mana-mana sebelum akan menghilang lagi selepas ini. Berbeda dengan amilin PAS dan anggota legislatif PAS kerana menyantuni masyarakat adalah ajaran Islam. Menebar kepedulian sosial adalah sifat orang mukmin, apatah lagi dengan sebanjaran keteladanan daripada baginda ar Rasul SAW, Khulafa ar-Rasyidin dan juga generasi al Quran yang unik.
PAS kini umurnya 72 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarangsa. PAS memimpin di empat buah negeri jantung hati orang Melayu, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.
Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada prasekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam.
Mengapa PAS terus relevan walaupun telah melepasi tujuh dekad umurnya? Jawaban yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan. PAS saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerak kerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul di saat kepayahan dan kejerihan.
Amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli ummat. Wakil rakyat PAS siang malam berada di lapangan masyarakat, walau tanpa peruntukan, kerana mereka diajar dalam kocek mereka adalah wang milik jamaah.
PAS melalui sarana kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi akibat kesan ketidakcekapan pemerintah yang lebih suka berpolemik dan berteori. Lihat sahaja kegilaan PMX dengan acara nyanyian dan “horay-horay” yang menjauhkan kerajaan daripada keberkatan. Tatakelola cacamerba ini turut menjunamkan nilai ringgit, mencanak harga segala barang keperluan hidup, inflasi, situasi yang melembapkan perniagaan dan menjejaskan indeks keceriaan rakyat.
Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerak kerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, asatizah PAS menguasai masjid, surau, pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.
PAS jauh meninggalkan Gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang hampir tujuh dekad berjuang. PAS membias sinarnya kepada rakyat melalui kerja kebajikan, begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerak kerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, Masjid Mision dan lain-lain lagi.
Gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin walaupun mengalami kekangan yang hebat, juga bergerak melalui jaringan sivil, menggerakkan NGO dalam pelbagai tugasan. Pertubuhan Milli Guruz yang diasaskan oleh almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan dengan pelbagai NGO kebajikan membantu umat di peta luka umat Islam di benua Afrika, sub continent juga membantu umat Islam di benua Eropah.
PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat. Pimpinan PAS di pelbagai peringkat, juga NGO-NGO rangkuman PAS mestilah turut memahami struktur organisasi kerajaan. Parti -parti lain jangan cemburu dengan sokongan dan dukungan ummah kepada PAS. Ini akibat keseriusan jamaah Islam ini terus istiqamah menebar kebajikan untuk rakyat. Menyusuri setiap lorong dan denai serta nadi kehidupan rakyat adalah obsesi PAS, bukan hanya menunggu Parlimen atau DUN dibubarkan.
Penulis yakin dalam tempoh sedekad lagi, PAS akan menjadi wadah utama umat Islam negara ini, jika pemerkasaan gerak kerja kebajikan sentiasa di hati pendukung serta penyokong PAS. Jom rakyat Malaysia, kalian dijemput bersama parti yang paling berintegriti ini, paling ramai ulama dan ilmuan ini untuk membina tanah leluhur yang diberkahi Tuhan. – HARAKAHDAILY 13/7/2023
Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!