Majlis Syura teliti lebih 40 peratus calon baharu

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Majlis Syura Ulamak (MSU) sudah meneliti lebih 300 calon PAS yang akan bertanding di 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, lebih 40 peratus daripada calon yang dikemukakan merupakan muka baharu dan ada dalam kalangan mereka pemimpin akar umbi PAS.

“Mesyuarat MSU pada Jumaat lepas khusus untuk memilih calon yang layak untuk mewakili PAS pada PRN 12 Ogos ini.

“Ada calon yang ditolak MSU kerana tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) hari ini.

Menurutnya juga bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz antara calon yang melepasi tapisan MSU dan layak menjadi calon.

Katanya beliau menerima banyak soalan wartawan mengenai status Nik Abduh berkaitan kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Legasi Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat amat diberi perhatian oleh pengundi terutamanya di Kelantan.

“Nik Abduh termasuk dalam senarai dan lulus kelayakan terpulang kepada beliau untuk terima atau tolak pencalonan,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, MSU bertindak sebagai badan yang meluluskan kelayakan calon sahaja, berkaitan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ia ditentukan Perhubungan PAS Negeri-negeri.

Menurutnya juga nama calon dan kerusi Dun mana akan ditentukan oleh Perhubungan PAS negeri.

“Sebelum ini setiap Dun yang akan diwakili PAS mengemukakan tiga nama calon, malah ada Dun yang kemukakan empat nama,” katanya.

PRN ke-15 akan diadakan pada 12 Ogos ini membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Penamaan calon ditetapkan 29 Julai ini. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -