KUALA LUMPUR: Dakwaan terbaharu kerajaan bahawa kos belanja dapur keluarga sebanyak RM391 sebulan hanya persepsi semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Ustaz Mohd Farkhan Md Zain berkata, pengiraan kos tersebut hanya sebilangan kecil sahaja daripada barangan dapur dan bukannya bersifat keseluruhan.
“Tidak dinafikan harga tersebut memang benar pada barang-barang dapur yang dinyatakan tetapi masalahnya pengiraan tersebut tidak termasuk untuk bahan-bahan asas dapur yang lain,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Terdahulu menurut laporan Malaysiakini, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) membuat dakwaan melalui satu infografik bahawa perbelanjaan dapur untuk satu keluarga dengan gaji minimum RM1,500 adalah sebanyak RM391 sebulan bersamaan RM97.75 seminggu.
Dakwaan tersebut dibuat JKOM dikatakan sebagai menjawab persoalan benarkah belanja dapur meningkat dari RM200 ke RM500 sebulan; yang menyenaraikan contoh perbelanjaan sekeluarga melibatkan enam barangan terdiri daripada ayam, beras, minyak masak, telur, roti dan gas masak.
Mohd Farkhan berkata, untuk melakukan pengiraan terhadap barang-barang dapur secara keseluruhan perlu melihat kepada perbezaan demografi seperti antara penduduk dalam bandar dengan luar bandar.
“Kerajaan seharusnya sedar bahawa penduduk dalam bandar yang terpaksa bergelut dengan setiap kenaikan kos termasuklah inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” tegasnya.
Sementara, seorang pemandu Grab, Abdul Quddus Tumirin turut tidak bersetuju dengan angka kos perbelanjaan terhadap barangan-barangan dapur rakyat seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.
Menurut beliau yang juga merupakan seorang ejen Takaful FWD, pengiraan tersebut adalah tidak tepat lebih-lebih lagi apabila dalam sesebuah keluarga mempunyai dua orang dewasa dan dua kanak-kanak.
“Katakan dalam keluarga tersebut makan ayam dua ekor sebulan, yang mana jika ayam tersebut dipotong 12 maka boleh dapat 24 bahagian tetapi masalahnya kita makan paling kurang 3 kali sehari,” katanya.
Beliau menyatakan, jika berpandukan kepada pengiraan kerajaan mengenai telur juga yang sememangnya 30 biji sepapan bermakna keluarga tersebut hanya memakan 1 biji telur untuk sehari.
“Ini belum campur dengan sayur dan bahan rempah ratus lagi, jadi bagaimana nak menepati saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sentiasa menggalakkan pemakanan yang sihat?” soal Abdul Quddus.
Beliau menegaskan, masyarakat yang sihat perlu mempunyai pemakanan yang bagus dan kerajaan seharusnya mempunyai kesedaran mengenai perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 13/7/2023