Wartawan terkenal Lubnan dijatuhi hukuman penjara

Dima Sadek diperintahkan untuk membayar denda sebanyak 110 juta pound Lubnan. (FOTO: Getty Images)
- Advertisement -

TRIPOLI: Wartawan terkemuka Lubnan, Dima Sadek telah dijatuhi hukuman penjara setahun hasil tuntutan mahkamah yang difailkan terhadapnya oleh Presiden Gerakan Patriotik Bebas, Gebran Bassil.

Bassil mendakwa wartawan itu di mahkamah sebagai telah memfitnah dirinya lebih tiga tahun lalu, selepas mengecamnya melakukan hasutan dan bersifat perkauman.

- Advertisement -

Sadek juga diperintahkan oleh Hakim Rosine Hojeili agar membayar denda sebanyak 110 juta pound Lubnan (RM34,027), lapor L’Orient Le Jour pada Selasa (11 Julai).

Wartawan itu dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan itu melalui peguamnya, Diala Shehadeh, lapor laman web berita, Megaphone Lubnan.

“Badan kehakiman boleh memenjarakan saya pada bila-bila masa jika saya tidak membuat rayuan,” kata Sadek menurut laporan itu.

Wartawan berusia 43 tahun itu dilaporkan telah mendedahkan perkara tersebut dalam video yang disiarkan di Twitter, menjelaskan bahawa bahawa dia dipenjarakan atas alasan ‘fitnah’ berikutan kenyataan yang dibuatnya pada Februari 2020 mengenai dua lelaki muda yang diserang di utara selatan Tripoli oleh seorang lelaki yang setia kepada Gerakan Patriotik Bebas (FPM).

Salah seoranv lelaki itu, Zakaria al-Masry, telah dipukul dan dipaksa untuk berkata: “Aoun ialah Tuhan anda dan Tuhan Tripoli”, merujuk kepada bekas presiden Lubnan dan bekas ketua FPM, Michel Aoun.

Susulan insiden itu, yang berlaku pada 6 dan 7 Februari 2020, Sadek menyifatkan tindakan itu sebagai ‘perkauman dan seperti Nazi’.

Sadek yang pernah bekerja sebagai penyiar dengan stesen penyiaran LBCI, terkenal dengan sokongannya terhadap protes antikerajaan Lubnan pada Oktober 2019. – HARAKAHDAILY 12/7/2023