Dalam beberapa minggu ini, penulis memang sudah pun berkampung di Negeri Sembilan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai wartawan membuat liputan di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada enam negeri yang terlibat dengan PRN kali ini, selain Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Suhu demam pilihan raya sudah mula membahang dengan pada masa ini parti-parti politik sedang sibuk melancarkan jentera dan turun padang membuat culaan.
Menjalankan tanggungjawab membuat tinjauan, penulis sempat menemuramah dan berbual-bual dengan penduduk setempat bagi mendapatkan maklum balas terhadap kecenderungan pengundi terhadap parti-parti politik dan mendengar luahan masalah penduduk di sini untuk diketengahkan.
Seperti biasa, rungutan yang paling banyak disuarakan sekarang ialah berkaitan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan yang semakin menggila. Itu keluhan paling banyak diterima.
Perkara tentang harga barang ini adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat, diada-adakan atau ditipu.
Semua orang membeli, jadi semua orang boleh tahu sama ada harga barang secara umum naik atau tidak.
Kalau pembangkang sengaja ada-adakan cerita kenaikan harga barang tetapi harga barang sebenarnya tidak naik sudah pasti rakyat tahu pembangkang berbohong kerana mereka semua tahu harga barang yang sebenarnya kerana mereka sendiri yang membeli-belah.
Tetapi memang rakyat sendiri yang cakap begitu. Pembangkang pula perlu memperjuangkan nasib rakyat yang sedang dalam kesusahan. Itu di pihak rakyat.
Namun lain pula kisahnya di pihak menteri-menteri kerajaan Madani dan konco-konco mereka di media sosial. Mati-mati mereka tidak percaya yang harga barang sudah naik.
Semasa persidangan Parlimen baru-baru ini pun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub menafikan sekeras-kerasnya berlaku kenaikan harga barangan. Timbalan beliau juga bercakap nada yang sama.
Jabatan Perangkaan (DOSM) di bawah Kementerian Ekonomi juga membentangkan kadar inflasi terkini yang dikatakan menurun. Memang peliklah, kerajaan kata inflasi turun, tetapi apa yang rakyat alami di dunia sebenar pula bukan begitu.
Baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu hantaran Twitter beliau ada menitipkan catatan terhadap kapsyen yang tular dan diulang salin pengguna berkaitan isu kenaikan harga barang di media sosial.
Kapsyen tersebut berkaitan dengan rungutan terhadap belanja dapur yang dikatakan meningkat akhir-akhir ini.
Fahmi dalam catatan tersebut berkata “Wow, semua ayat sama. Ini dipanggil ‘coordinated inauthentic behaviour’, jelas melanggar beberapa peraturan”. Beliau turut meletakkan tanda pagar MCMC untuk tindakan.
Wow! Mengeluh harga barang naik pun kini satu kesalahan! Iyalah, mungkin yang dikatakan salah itu kononnya kerana menyalin kapsyen itu. Tetapi apa salahnya jika memang semua rakyat yang berpendapatan rendah begitulah anggaran perbelanjaan mereka.
Fahmi mana tahu masalah rakyat marhaen. Gaji dan elaun menteri dan wakil rakyat pun biasanya lebih dari RM50,000 sebulan. Fahmi tak rasa apa yang rakyat rasa.
Sebelum ini Fahmi juga yang mengugut hendak menghantar kereta polis untuk angkut netizen yang mengecamnya semasa dia sedang membuat siaran langsung di media sosialnya.
Tetapi kata Fahmi itu kerana mereka menyentuh soal 3R iaitu Raja-Raja, agama dan bangsa (royalty, religion, race).
Mungkin sekarang sudah tambah satu lagi R yang dilarang iaitu ‘Repeat’, mengulang salin kapsyen hantaran media sosial orang lain walaupun memang kita menghadapi masalah yang sama.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!