ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap sebagai wow factor yang mampu meraih sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Wow factor itu dibuktikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 peringkat parlimen November lepas apabila PN menang 14 daripada 15 kerusi parlimen di Kedah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, jentera PN menggunakan hashtag ‘Kekal Sanusi’ dan ‘The Greater Kedah’ sebagai pilihan terbaik untuk rakyat.
Katanya, tawaran itu tidak terkandung dalam manifesto PN Kedah pada PRN ke-15, sebaliknya bagi memberi gambaran Kedah akan terus cemerlang di bawah pimpinan Sanusi.
“Hashtag ‘Kekal Sanusi’ dan ‘The Greater Kedah’ ibarat slogan di medan perang, di mana Kedah menjadi sasaran lawan yang diserang dari setiap penjuru.
“Oleh itu kita memerlukan hashtag yang padu sebagai mesej yang jelas untuk rakyat,” katanya di sini.
Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, semua rakyat kenal dan tahu kepimpinan ditunjukkan Sanusi sepanjang tiga tahun menerajui Kedah.
Sebelum ini tular di media sosial, pelbagai poster memfitnah Sanusi semata-mata lagi melemahkan PN menjelang PRN tidak lama lagi.
Malah Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah Mohammad Hilmi Abd Wahab menyifatkan poster-poster fitnah tersebut hanya bertujuan mengelirukan rakyat. – HARAKAHDAILY 12/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!