Penyokong Palmeiras maut dibaling botol kaca

Gelanggang pertemuan Palmeiras - Flamengo yang meragut nyawa seorang wanita. - REUTERS
- Advertisement -

Seorang wanita Brazil meninggal dunia selepas mengalami luka di leher apabila terkena botol kaca yang dibaling semasa pergaduhan antara penyokong Palmeiras dan Flamengo sebelum perlawanan antara kedua-dua kelab itu, Sabtu lalu.

Penyokong Palmeiras, Gabriela Anelli, 23, cedera parah ketika menunggu untuk memasuki Stadium Allianz Parque di Sao Paulo. Menurut polis tentera, dia dibawa ke pusat perubatan dalam keadaan serius, tetapi meninggal dunia dua hari kemudian.

- Advertisement -

Berikutan itu, Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues, berkata semua perlawanan dalam pusingan ke-15 kejuaraan Brazil akan dimulakan dengan sesi `senyap’ selama seminit sebagai penghormatan kepada Anelli.

Menurutnya, CBF juga bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan agensi lain yang berkaitan untuk memerangi keganasan penyokong bola sepak.

“Bola sepak adalah keghairahan dan bukan ruang untuk penjenayah menyusup masuk sebagai peminat untuk melakukan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semasa pertempuran itu, polis turut diserang dengan botol kaca dan terpaksa menggunakan semburan lada untuk memulihkan keadaan. Pengadil pula terpaksa menghentikan perlawanan dua kali pada separuh masa pertama kerana pemain mengadu berasa pedih pada mata dan hidung mereka.

Palmeiras dalam kenyataan menyatakan: “Kami tidak boleh menerima bahawa seorang gadis berusia 23 tahun menjadi mangsa kebiadaban dalam persekitaran yang sepatutnya menjadi antara bentuk hiburan. Kami menyatakan solidariti kami bersama keluarga gadis Palmeiras dan menuntut siasatan segera terhadap jenayah ini.”

Flamengo pula berkata: “Pada suatu peristiwa yang sepatutnya menjadi pertikaian sukan semata-mata, seorang wanita muda kehilangan nyawa dengan cara yang biadab dan tidak wajar yang pelakunya patut dihukum dengan keras.”

Wakil Jabatan Operasi Strategik Polis berkata, pihak yang bertanggungjawab membaling botol itu telah ditangkap dan akan didakwa dengan niat membunuh. – REUTERS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!