Lionel Messi bukan sahaja tidak menyesal dengan keputusannya menyertai Inter Miami, malah tidak sabar-sabar untuk menghadapi cabaran baharu.
Pemain berusia 36 tahun itu tiba di Amerika Syarikat semalam, sebelum diperkenalkan sebagai pemain Inter Miami pada majlis khas, Ahad ini.
“Saya gembira dengan keputusan yang dibuat. Saya bersedia dan tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu,” kata Messi dalam temu bual dengan TV Argentina, semalam.
“Mentaliti dan fikiran saya tidak akan berubah dan saya akan cuba, di mana sahaja saya berada untuk memberikan yang maksimum untuk diri dan kelab, untuk terus beraksi di peringkat tertinggi.”
Kelab itu sedang membuat persiapan mengadakan majlis khas untuk memperkenalkan pemenang Ballon d’Or tujuh kali di Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale.
“Peminat akan dapat menikmati malam yang penuh dengan hiburan menarik, ucapan di padang dan banyak lagi,” kata kelab itu dalam satu kenyataan, sambil menambah tiket adalah percuma untuk pemegang tiket musim.
Pemenang Piala Dunia itu bertemu semula bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets di Inter Miami serta bekas jurulatih Argentina, Gerardo Martino.
Messi dijangka membuat penampilan sulung untuk kelab itu pada 21 Julai dalam pertembungan Piala Liga menentang pasukan Mexico, Cruz Azul. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!