KANGAR: Rakyat di Pulau Pinang diharap tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan pemimpin DAP, semata-mata mahu mengekalkan kuasa politik di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar, Mohd Azizi Syam berkata, situasi itu jauh berbeza dengan negeri ditadbir PAS termasuk Kelantan yang meraikan kepelbagaian kaum.
Katanya, biarpun Kelantan ditadbir lebih 30 tahun, namun tiada satu pun patung Buddha besar yang terdapat di negeri itu dirobohkan.
“Kami amat terkilan dengan apa yang didakwa pemimpin DAP itu kerana ia langsung tidak berasas dan fitnah.
“Kenyataan Pengerusi DAP boleh menimbulkan sentimen lain yang boleh menganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar semalam. (Foto atas)
Sebuah akhbar bahasa Mandarin pada laporan baru-baru ini menyebut Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu bagi mengelakkan tokong Buddha dimusnahkan.
Berikutan itu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dilapor meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Bagaimanapun selepas itu hangat, Guan Eng pada kenyataan di laman sosialnya menafikan menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha pada ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
Mohd Azizi juga berkata, kerajaan sebelum ini berulang kali menentang mana-mana pihak yang menggunakan sentimen ‘3R’ iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race).
“Tetapi malangnya mereka sendiri mengeluarkan kenyataan yang menggunakan isu 3R ini malah mengugut rakyat dengan gelombang hijau,” katanya.
Di PADANG BESAR, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, Guan Eng wajar diambil tindakan berhubung kenyataan tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) laporan polis dibuat serentak di Kangar, Padang Besar dan Arau berhubung kenyataan Guan Eng yang sangat merbahaya,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Padang Besar. (Foto bawah)

Kata beliau polis boleh menyiasat Guan Eng di bawah akta 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain berkaitan. – HARAKAHDAILY 10/7/2023