New York dilimpahi banjir: Gabenor isytihar darurat

Foto yang diedarkan Polis Negeri New York menunjukkan kenderaan ditenggelami air banjir berhampiran Highland Falls, New York, pada 9 Julai 2023, waktu tempatan. (FOTO: Polis Negeri New York/Newsweek)
- Advertisement -

NEW YORK: Seorang wanita terbunuh ketika cuba meninggalkan rumahnya bersama-sama anjingnya di Lembah Hudson apabila dia dihanyutkan dalam banjir kilat, susulan hujan lebat  luar biasa yang melanda di negeri New York.

Dilabelkan sebagai ‘mengancam nyawa’ penduduk, hujan lebat berkenaan melanda pada Ahad (9 Jul), waktu tempatan, menenggelamkan jalan-jalan raya dan menghempas jambatan, menyebabkan orang ramai terkandas di dalam kereta dan rumah mereka, menyebabkan gabenor New York mengisytiharkan negeri itu kini berada dalam keadaan darurat.

- Advertisement -

Gabenor Kathy Hochul mengisytiharkan darurat di Orange County, barat laut banda raya New York, dan di Ontario County di bahagian tengah negeri itu, dengan menyatakan bahawa sehingga 200 milimeter hujan yang turun telah mewujudkan ‘keadaan berbahaya yang mengancam nyawa akibat banjir kilat’.

Tangkapan skrin media sosial menunjukkan jalan raya ditenggelami banjir di Highland Falls, Orange County, Amerika Syarikat pada 9 Julai 2023. (FOTO: Melissa Roberts/REUTERS)

“Kami menghampiri titik kritikal dalam peristiwa cuaca ini,”  kata Hochul.

“Menjelang petang Ahad, lebih 12,000 pelanggan telah terputus bekalan elektrik,” ujar pula kenyataan dari pejabat Hochul.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata ia menerima pelbagai laporan mengenai banjir besar dan orang yang terperangkap dalam kenderaan di timur daerah Orange.

Sehingga jam 8 malam Ahad waktu tempatan (jam 8 pagi, Isnin 10 Julai, waktu Malaysia), beberapa lebuh raya ditutup di sekurang-kurangnya lima daerah, termasuk Westchester County, yang terletak di utara bandar raya New York, dan bersempadan dengan Sungai Hudson.

Pejabat gabenor berkata negeri itu sepatutnya menjangkakan lebih banyak ribut berlaku pada  Isnin (10 Julai) di New York.

“Hujan yang berlebihan disebabkan oleh ribut petir yang bergerak perlahan berkemungkinan akan terus menyebabkan banjir kilat pada malam ini hingga Isnin,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2023