
ALOR SETAR: Himpunan Wanita Muda Malaysia (HAMRA) menyemarakkan sokongan anak muda terus bekerja untuk kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos ini.
Menurut pengarah program, Ummi Kalsum Ismail, HAMRA secara tidak langsung menyuntik kembali gelombang PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kepada PRN di enam negeri.
“Tsunami anak muda pada PRU lalu amat memberangsangkan. Oleh itu HAMRA kali ini sebagai inisiatif menyemarakkan kembali untuk PRN khususnya di enam negeri yang terlibat, ” jelasnya yang juga Timbalan Ketua Ameerah Malaysia.
Ujarnya lagi, himpunan anak-anak muda sebegini telahpun diadakan oleh Ameerah Malaysia bermula 2017 di Shah Alam, 2020 di Terengganu dan pada tahun ini di Kedah.
Beliau yang ditemui selepas berakhirnya HAMRA yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, semalam turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menjayakannya terutama Ameerah, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah. Terima kasih juga kepada Dewan Muslimat PAS Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada program-program Ameerah Malaysia.
HAMRA dirasmikan oleh Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.
Hadirin juga berpeluang mendengar motivasi taujihat daripada Ketua Dewan Muslimat Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Beliau turut menyerahkan bendera kepada wakil Ameerah di enam negeri sebagai gimik pelancaran.
HAMRA yang dihadiri wakil Ameerah seluruh negara itu pada sebelah paginya dimulakan dengan forum yang dibarisi dua ahli panel terkenal, Ustazah Asmak Husin dan Ustaz Abdullah Khairi. – HARAKAHDAILY 9/7/2023