KOTA BHARU: PAS mencadangkan kesemua enam negeri yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini supaya menyediakan pengangkutan bas percuma kepada pelajar yang mahu pulang mengundi.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata inisiatif seperti yang dilakukan Kelantan seharusnya dicontohi negeri-negeri lain yang turut mengadakan PRN.
Katanya usaha yang dilakukan itu dapat mendorong peningkatan peratusan rakyat keluar mengundi terutamanya golongan muda.
“Bas yang disediakan itu terbuka kepada semua anak-anak Kelantan yang balik mengundi dan saya fikir langkah terbabit sepatutnya ditiru semua negeri.
“Ini bukan soal sogokan kerana apa yang disediakan itu bukan parti tetapi kerajaan negeri, malah ia terbuka kepada semua mana-mana anak Kelantan dan tidak kira parti politik,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Ppakat Pertahan Kelantan, di Kubang Kerian malam tadi.
Turut hadir Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor serta pimpinan PAS Kubang Kerian.
Tuan Ibrahim turut berharap kerajaan dapat mengawal peningkatan harga tambang penerbangan yang didakwa lebih mahal terutama menjelang hari mengundi.
Semalam Kelantan mengumumkan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi untuk pulang mengundi pada PRN tidak lama lagi.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan terbabit untuk perjalanan pulang dan kembali semula ke kampus bagi memudahkan pelajar di luar Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Sementara itu pada perkembangan berkaitan Tuan Ibrahim berkata, Majlis Syura Ulamak melakukan penelitian tentang kelayakan dari segi syarie calon yang disenaraikan dan mampu melaksanakan amanah dengan baik.

Menurutnya sebarang penilaian Majlis Syura Ulamak akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan akan diteliti pula Presiden bersama kepimpinan negeri untuk diperhalusi sebelum memuktamadkan keputusan. – HARAKAHDAILY 7/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!