BEIJING: Tindakan Jepun melepaskan air radioaktif terawat ke laut menyebabkan China bercadang melarang import makanan dari kira-kira satu perlima wilayah Jepun atas sebab keselamatan.
Pembeli terbesar eksport makanan laut Jepun, China juga akan menyemak dengan ketat dokumen untuk makanan, terutama produk akuatik dari wilayah lain Jepun.
Mengikut Kastam China, pihak berkuasa akan terus mengukuhkan pengesanan dan pemantauan bahan radioaktif bagi memastikan keselamatan makanan yang diimport dari 10 wilayah Jepun berkenaan.
Langkah ini bertujuan menghalang eksport makanan Jepun yang dicemari radioaktif ke China dan melindungi keselamatan makanan import pengguna China.
Selama berminggu-minggu, China secara terbuka menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan Jepun untuk melepaskan air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke laut.
Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, minggu ini memberi lampu hijau kepada Jepun untuk mula mengeluarkan lebih sejuta tan metrik air yang digunakan untuk menyejukkan batang bahan api loji itu yang musnah akibat tsunami 2011.
Kastam China menyatakan bahawa laporan itu tidak mencerminkan sepenuhnya pandangan semua pakar yang terlibat dalam proses penilaian dan kesimpulan itu tidak disokong sebulat suara oleh pakar. – REUTERS