Perbaiki sisa usia – sebelum terlambat dan menyesal

- Advertisement -

SEMAKIN berusia, semakin kita merasakan semakin berkurang amal kita. Dulu, di masa masih bertenaga, bersemangatnya bangun di sepertiga akhir malam untuk berqiamullail, betapa bersemangatnya kita menghadiri majlis ilmu, betapa pemurahnya kita menabur sedekah, betapa rindunya kita dengan keindahan ayat-ayat Allah S.W.T. Tetapi sekarang dari hari berganti bulan dan dari bulan berganti tahun kenapa semuanya sudah semakin hambar dan memudar, kenapa? Adakah kerana kita semakin berusia?

Jadi, berhentilah, merenung sejenak ke dalam diri, adakah selama ini kita sudah menjadi hamba-Nya yang taat dan bersyukur? Adakah kita telah meruntuhkan ego kita dengan doa yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah S.A.W?

- Advertisement -

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W pernah di suatu subuh yang hening menyampaikan bicaranya kepada para Sahabat:

“Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “….Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba, dan akhirnya kalian hancur sebagaimana mereka hancur.””

(Hadis Riwayat Muslim (2961) dan al-Bukhari (6425), dan Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab mengenai Zuhud halaman 73)

Kalian, di masa itu akan lupa dosa dan pahala. Kalian akan hilang rasa persaudaraan. Ketamakan kepada dunia akan menjadikan kalian semakin jauh dari Tuhan dan petunjuk al-Quran. Kalian terperangkap dengan desakan hawa nafsu dan belitan syaitan. Inilah yang dikhuatiri oleh Baginda S.A.W.

Kehidupan ini bagaikan membilang waktu-waktu yang berdetik. Waktu terus berubah-ubah dari minit, jam, hari, bulan dan tahun. Sedar-sedar kita sudah semakin dewasa, berusia atau tua. 

Allah S.W.T di dalam al-Quran selalu mengingatkan kita mengenai waktu kita. Sebab itu dikatakan waktu itu kehidupan. Kehidupan manusia ada batas waktunya. 

Pernah di ketika berusia 120 hari di dalam rahim ibu, kita di datangi oleh malaikat dan dituliskan untuknya beberapa perkara:

“…kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan ruh pada janin tersebut, lalu ditetapkan baginya empat hal: rezekinya, ajalnya, perbuatannya, serta kesengsaraannya dan kebahagiaannya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Allah ingatkan kita dengan masa:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

(al-Asr: 1-3)

Semua kita kena memuhasabah diri. Berapa umur kita sekarang? Apa yang sudah kita lakukan untuk hidup kita? Ke mana kita telah gunakan masa, ilmu dan harta kita? Dengan apa, kita penuhi sisa-sisa kehidupan ini dengan masa lalu kita yang telah banyak melakukan dosa dan maksiat? 

Sepatutnya kita mesti lebih bersemangat untuk berubah dan mewarnai kehidupan kita seterusnya dengan kembali kepada Allah S.W.T dan melaksanakan setiap perintah-Nya melalui apa yang sudah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Hidup sangat singkat untuk terus leka dan lalai, beralasan tidak mahu dan tidak mampu, sedangkan untuk dunia sebaliknya.

Kita mesti ingat!, manusia ini selalunya terperangkap memikirkan masa depan yang kita sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi. Jadi di saat itu, dia akan rasa rugi, tertekan dan sebagainya. Tetapi pernah ke kita rasa rugi dan tertekan bila subuh tadi kita solat lewat dan tidak sempat berjemaah di masjid? Dan pernah ke kita rasa menyesal dan rasa bersalah kerana tidak mendidik keluarga dan masyarakat kita menjadi keluarga dan masyarakat yang solehah? 

Rasulullah S.A.W telah mengajarkan kepada kita, bagaimana untuk memanfaatkan waktu kita:

“Dari Abdullah bin Busr Al-Aslami R.A yang bermaksud: “Manusia terbaik adalah orang yang berusia panjang dan baik amalannya.””

(Hadis Sahih – Diriwayatkan oleh Tirmizi)

Maksudnya, manusia yang semakin panjang umurnya, semakin mentaati Allah S.W.T, maka ia bertambah dekat kepada Allah S.W.T. Walaupun mereka sudah tiada tetapi kebaikannya diingat sehingga akhir zaman. Contoh Imam Syafie – ilmunya diingat sampai sekarang. 

Dan Hadis lain, “Siapakah manusia yang buruk itu?” Nabi bersabda yang bermaksud, “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi)

Pelajarilah Sirah kehidupan para Sahabat Nabi S.A.W, antaranya Umar al-khattab R.A. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang yang sangat kejam dan beliau terlewat masuk Islam berbanding dengan sembilan Sahabat Nabi yang lain yang telah dijamin masuk syurga. Setelah Islam, Umar sangat bersemangat untuk berubah dan berlari kencang melakukan kebaikan dan perintah Allah S.W.T sehingga Imannya ditakuti oleh syaitan. 

Dan ingatlah wahai para isteri yang solehah, pelajarilah apa peranan yang perlu dimainkan ketika suami ingin mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Lihat kepada apa yang telah dilakukan oleh Saidatina Aisyah kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda bermalam di rumahnya:

Saidatina Aisyah pernah bercerita bahawa di suatu malam, Rasulullah S.A.W bangun dari tidurnya, Baginda menemuinya dan mengatakan yang bermaksud: “Hai Aisyah, izinkanlah saya beribadah kepada Tuhanku (sebab Rasulullah ingin solat panjang di malam itu).”

Aisyah berkata, “Ya Rasulullah, aku sangat suka engkau berada di sini dan aku sangat suka engkau berada di sampingku. Tetapi aku juga lebih suka jika engkau beribadah kepada Tuhanmu.”

Rasulullah S.A.W solat dan solat sambil menangis sehingga basah janggutnya dan basah tempat sujudnya berlanjutan hingga ke subuh Nabi menangis dan solat. Bilal Ketika mengajak Nabi untuk solat terlihat keadaan Nabi S.A.W begitu, dia berkata, “Sudah ya Rasulullah!, dosa engkau sudah diampuni yang dulu dan yang akan datang.” Aisyah juga berkata begitu. Lalu dijawab oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Apa tidak boleh aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur?”

MasyaAllah hebatnya kekasih Allah yang Maha Agung, Rasulullah S.A.W. Beliau berada di tahap kekasih Allah S.W.T tetapi masih melaksanakan ibadah malamnya sehingga bengkak kaki kerana lamanya berdiri. Kita bagaimana? 

Jadi kita kena memaknai erti kehidupan. Kesederhanaan kehidupan Rasulullah S.A.W, bukan bermaksud mengajak seluruh umat Islam hidup miskin. Ambillah pengajaran dari sifat syukur dan qanaah (cukup) Baginda. Beliau tidak sibuk dengan dunia sehingga wafat tidak membawa amal, bekal. Kita kena ambil pengajaran dari sifat Nabi yang tidak pernah mengeluh, kerana terlalu banyak yang harus disyukuri dari apa yang kita ada sekarang. Nabi S.A.W sendiri, tidak pernah hidup semewah kita:

“Dari Abu Hurairah R.A, ia berkali-kali mengarahkan jarinya ke mulutnya, sambal mengatakan, “Rasulullah S.A.W dan keluarganya tidak pernah merasa kenyang dalam tiga hari berturut-turut kerana memakan roti gandum. (Keadaan tersebut terus berlangsung) Hingga beliau berpisah dengan dunia (wafat).””

(Hadis Riwayat Muslim 2976 dan Ibnu Majah 3343)

Nabi S.A.W mengingatkan dengan Hadisnya, agar kita tidak menyesali atas masa lampau kita yang banyak dalam kelalaian dan dosa dan masa kini yang sudah semakin kehilangan masa emasnya untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Hadis ini menjadikan manusia, menyesali diri, kerana tidak menjadikan setiap apa yang dilakukan di masa mudanya, masa sihatnya, masa lapangnya, masa kayanya dengan nilaian ibadah yang sempurna. Jadi renungilah dengan sungguh-sungguh maksud Hadis Nabi S.A.W di bawah:

“Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara:

1.  Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,

2.  Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,

3. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,

4.  Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,

5.  Hidupmu sebelum datang kematianmu.”

(Hadis Riwayat Al Hakim. Hadis ini dikatakan sahih oleh Syaikh Al Albani)

Merujuk kepada Hadis di atas:

1. Masa muda sebelum datangnya masa tua.

Masa muda adalah masa untuk berjuang mendapatkan ilmu dan beribadah secara bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. Dan juga berjuang di jalan kebenaran menegakkan agama-Nya dengan kekuatan yang ada.

Masa muda merupakan masa yang sangat berharga, kerana sesiapa yang memanfaatkan waktu mudanya, dia akan beruntung dan selamat. Seseorang Muslim itu juga akan berada di bawah naungan Allah S.W.T ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya iaitu pemuda yang membesar dalam ketaatan (ibadah).

Masa muda adalah masa di mana syahwat sedang memuncak sehingga tidak kurang ramai pemuda yang terjerumus dalam kemaksiatan dan futur. Hanya pemuda yang mampu mengisi hari-harinya dengan ibadah sahajalah yang terselamat di dunia dan di hari kiamat. Sebagaimana kisah ‘Ashabul Kahfi’ (Para pemuda Kahfi) yang mengelakkan kezaliman penguasa untuk menyelamatkan aqidah mereka.

Jika kamu berada di pagi hari, janganlah menunggu petang tiba. Hari inilah yang akan kalian jalani, bukan hari semalam yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya, juga bukan esok hari yang belum tentu datang. Hari yang saat ini mataharinya menyinari kalian, dan siangnya bersama kalian. Inilah hari kalian untuk menjadi lebih baik.

 (‘Aidh al-Qarni).

2. Waktu sihat sebelum datang waktu sakit 

Oleh itu orang yang benar-benar bijak akan memanfaatkan waktu sihatnya dengan memperbanyakkan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah S.W.T, seperti mencari ilmu, beribadah, beramal soleh dan sebagainya.

3. Masa kaya sebelum datang masa miskin.

Mempergunakan kekayaan kepada hal yang bermanfaat sebelum datangnya waktu miskin.

Lihat kepada akhlaknya Umar al-Khattab, dia sentiasa berazam untuk mengalahkan Abu Bakar (yang menjadi orang nombor 1 kepada Rasulullah S.A.W) dalam melakukan kebajikan atau kebaikan. 

Umar bin Khattab R.A berkata, “Suatu ketika, Rasulullah S.A.W menyuruh kami agar berinfak di jalan Allah. Kebetulan ketika itu ada sedikit harta pada saya, maka saya berkata di dalam hati, ‘Saat ini aku memiliki harta. Jika suatu saat aku dapat melebihi Abu Bakar, maka inilah saatnya.’ Aku pun pulang ke rumah dengan gembira. Lalu saya membahagikan seluruh harta yang ada di rumah kepada dua bahagian. Setengahnya untuk keluarga dan setengahnya lagi, saya serahkan kepada Rasulullah S.A.W.”

Rasulullah S.A.W bertanya yang bermaksud, “Wahai Umar, adakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” Saya menjawab, “Ada ya Rasulullah.”

Nabi bertanya lagi yang bermaksud, “Apa yang kamu tinggalkan?” Saya menjawab, “Saya tinggalkan untuk mereka setengah dari harta saya.”

Kemudian, datanglah Abu Bakar R.A, dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya yang bermaksud, “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?”

Abu Bakar menjawab, “Saya tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.”

Melihat hal ini, Umar berkata, “Saya tidak akan pernah dapat mengalahkan Abu Bakar walaupun saya dapat mengalahkan Sahabat-sahabat yang lain.”

Jadi ketika ada duit, berbuatlah sesuatu yang bermanfaat untuk diri dan orang lain. Jangan terlalu memikirkan hal dunia, kita cuma ada kesempatan yang sedikit dan mungkin hari ini kita ada duit, tetapi mungkin juga esok kita jatuh miskin. Jangan sampai kita menyesal di akhirat kelak.

4. Waktu lapang sebelum waktu sibuk: 

“Dari Ibnu Abbas R.A dia berkata; Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.””

(Hadis Riwayat Bukhari No: 5933) Status: Hadis Sahih

Ibnul Jauzi mengatakan: Dunia adalah ladang beramal untuk menuai hasil di akhirat kelak. Dunia adalah tempat kita menjaja barang dagangan, sedangkan keuntungannya akan diraih di akhirat nanti. Barangsiapa yang memanfaatkan waktu lapang dan nikmat sihat dalam rangka melakukan ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya, barangsiapa memanfaatkan keduanya dalam maksiat, dialah yang tertipu.

Ibnu Mas’ud pula mengatakan: Aku sangat benci orang yang menganggur, iaitu tidak beramal untuk penghidupan dunianya dan akhiratnya.

Jadi mulailah, meluangkan masa membaca al-Quran sekurang-kurangnya 1 juzuk 1 hari dan lain-lain amal yang bermanfaat yang kebiasaannya banyak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

5. Hidup sebelum mati.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.

“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

(Munafiqun: 9 – 11)

Jadi jangan sampai anak-anak dan harta melalaikan kalian dari mengingati Allah S.W.T, nanti kalian akan rugi. Ingat! Sekiranya akhirat kalian kejar, dunia pasti kalian akan dapat juga. Jadi, manfaatkanlah perintah dan amaran-amaran Allah S.W.T dari ayat-ayat al-Quran di atas, mudah-mudahan belum terlambat untuk menyesal dan dapat memperbaiki sisa-sisa usia yang ada.

Kesimpulannya:

Pergunakanlah seluruh baki-baki usia yang ada untuk melaksanakan amalan-amalan yang soleh dan memperbaiki masa-masa kelam atau detik-detik hitam dalam kehidupan. Allah S.W.T sentiasa menunggu kita kembali! Dan ingatlah Allah S.W.T banyak-banyak dengan zikrullah:

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(al-Jumu’ah: 10)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 6/7/2023