Operasi SAR hari keempat kesan dua lagi mangsa

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendengar taklimat semasa melawat Tapak Operasi Tragedi Kepala Air di Kemaman, kelmarin. (Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar)
- Advertisement -

CHUKAI: Operasi hari keempat mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih diteruskan pada 9 pagi ini.

- Advertisement -

Putri Nur Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, adalah mangsa yang masih hilang setelah lapan mayat berjaya ditemukan setakat ini.

Fokus pencarian hari ini lebih tertumpu di sektor B dan C, dengan keanggotaan pasukan SAR di sektor A dikecilkan kepada hanya 20 orang melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan unit anjing pengesan K9.

Pencarian di sektor B pula dipecahkan kepada dua subseksyen iaitu dengan keanggotaan masing-masing 30 dan 38 anggota, manakala baki anggota SAR akan memberi perhatian di sektor C sehingga perangkap sampah di muka kuala Sungai Kemaman.

Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II, Azman Alias, pasukan penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dan Polis Marin PDRM juga akan digerakkan bagi pencarian di air.

“Kaedah pencarian hari ini diperluas dengan carian secara di darat dan rafting di air, selain menggunakan anjing pengesan K9.

“Keadaan cuaca yang baik dan paras air sungai telah kembali normal memandangkan semalam kita tidak terima sebarang hujan diharapkan akan melancarkan pencarian kita pada hari ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini hari ini.

Semalam, operasi ditangguhkan pada 6.30 petang sebelum bersambung semula pada 9 malam berikutan penemuan beberapa petunjuk baharu dengan tumpuan pencarian di sektor C.

Bagaimanapun, operasi yang ditangguhkan semula pada 12 tengah malam tadi gagal menemukan Putri Nur Fatin dan Muhammad Fikri.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi SAR mencari 10 mangsa tragedi kepala air itu telah dimulakan pada Ahad dengan lapan mayat telah ditemukan.

Jenazah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 11.52 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir. – BERNAMA

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!