HARI ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Umum bagi enam negeri.
Sekali lagi rakyat Terengganu akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin pada 8 Ogos 2023 (Hari Mengundi Awal) dan 12 Ogos 2023 (Hari Mengundi).
Pilihan raya selalu disebut sebagai pesta demokrasi untuk rakyat menilai pemimpin dan parti politik yang berkelayakan menjadi peneraju diperingkat negeri.
Saya percaya rakyat negeri dan negara kita telah matang untuk membuat keputusan berasaskan kepada track record, khidmat rakyat, dan kewibawaan calon serta parti.
Hari ini juga saya dan kawan-kawan pentadbiran Negeri Terengganu telah melancarkan Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Terengganu sepanjang tempoh 5 tahun ini untuk dibaca dan dinilai oleh rakyat.
Sepanjang tempoh kempen kritikal ini, kita memahami pelbagai kempen dan propaganda politik diluncurkan ke tengah-tengah masyarakat.
Saya yakin rakyat kita bijak untuk tidak mudah terjerumus dalam perangkap media dan persepsi yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak.
Adalah lebih wajar pihak yang bertanding, berkempen dengan cara yang matang, menawarkan khidmat dan membentangkan tawaran sebagai salah satu cara kita membawa politik dan demokrasi yang lebih sihat.
Insya-Allah, untuk Negeri Terengganu, kita akan melengkapkan pengumuman 10 Tawaran PAS Terengganu pada 8 Julai 2023 (Sabtu) sempena program Jelajah Mega PN Best, Himpunan Teguh Pertahan Terengganu di Dataran Jambatan Angkat.
Saya dengan penuh sukacitanya menjemput semua rakyat Terengganu untuk turut bersama dalam program ini.
Saya juga ingin mengajak dan menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu terutamanya anak muda untuk turut serta dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi nanti.
Ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi ini perlu dimanfaatkan demi masa depan yang lebih baik.
Manakala, kepada semua perantau yang bakal pulang mengundi nanti, suka untuk saya sarankan agar membuat perancangan yang awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat sampai di destinasi masing-masing.
Akhirnya, carilah dan jadilah pemimpin yang ibaratnya seperti kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.
DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
5 Julai 2023 – HARAKAHDAILY