Israel serang Gaza selepas 12 terbunuh di Jenin

Api yang marak menyala kelihatan menjulang tinggi susulan serangan udara Israel di bahagian utara Semenanjung Gaza, berhampiran bandar Beit Lahia pada awal pagi hari ini, 5 Julai 2023. (FOTO: AL JAZEERA)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Serangan udara Israel telah melanda di bahagian utara Semenanjung Gaza, berhampiran bandar Beit Lahia.

Sumber media Palestin berkata, pada awal pagi hari ini, Rabu (5 Julai),  sekurang-kurangnya tiga serangan udara melanda lokasi di bandar itu, namun tiada laporan awal mengenai sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa, lapor Saudi Gazette.

Tentera Israel dalam kenyataannya pula mendakwa berkata ia telah melakukan serangan udara yang disasarkan ke atas ‘tapak pengeluaran senjata bawah tanah’ yang digunakan oleh Hamas.

“Sebuah tapak yang terlibat dalam pengeluaran bahan mentah untuk roket Hamas turut menjadi sasaran,” dakwa kenyataan itu lagi.

“Serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza telah dijangka berikutan tembakan roket dari jalur itu ke arah Israel, juga awal pagi Rabu (5 Julai),” ujar wartawan Al Jazeera, Issam Adwan yang berada  di Gaza.

“Kami telah melihat pelbagai serangan udara, terutamanya di bahagian utara Semenanjung Gaza di bandar Beit Lahia dan bandar sebelah selatan Gaza,” katanya. 

- Advertisement -

Tentera Israel sehubungan itu dilaporkan mengesahkan ia telah melakukan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap roket yang dilepaskan ke Israel sebelum ini  dari enklaf pantai Palestin.

“Sebagai tindak balas kepada roket yang dilancarkan awal malam ini (Rabu), Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini menyerang Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel, lapor AFP.

Serangan terbaharu tentera udara Israel di Semenanjung Gaza itu berlaku beberapa jam selepas Israel mendakwa seorang pejuang Hamas merempuh kereta yang dipandunya di perhentian bas Tel Aviv yang sesak dan mula menikam orang ramai, mencederakan lapan individy, termasuk seorang wanita hamil yang dilaporkan kehilangan bayinya, sebelum penyerang itu dibunuh oleh pihak bersenjata.

Sumber keselamatan Palestin pula berkata, serangan udara itu telah melanda sasaran tapak tentera Hamas di utara Gaza tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Anggota pasukan keselamatan Israel di lokasi kejadian didakwa oleh seorang pejuang Hamas di Tel Aviv, Israel pada 4 Julai 2023. (FOTO: REUTERS)

Sementara itu, seorang jurucakap memberitahu CNN, operasi tentera Israel di Jenin di Tebing Barat yang diduduki semakin reda tetapi ‘tidak berakhir’, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan meluas di kem pelarian di bandar itu.

“Di  kem pelarian di Jenin, sekurang-kurangnya 12 orang, dari umur 16 hingga 23 tahun, telah terbunuh dan lebih ramai lagi cedera selepas tentera Israel melancarkan operasi di kem minggu ini,” kata seorang pegawai Palestin.

Dalam temu bual di CNN ketika angka kematian berjumlah 11 orang, ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebaliknya mendakwa bahawa tiada ‘individu bukan pejuang’ terbunuh semasa pencerobohan itu.

“Kami kini berada di penghujung untuk mencapai matlamat kami, di dalam Jenin, memerangi keganasan dan merungkai keganasan di kem pelarian Jenin. Apabila kami mencapai matlamat, pasukan akan keluar dari kem di Jenin,” katanya.

Rakaman video yang diperoleh CNN menunjukkan kenderaan tentera Israel mula berundur dari bandar Tebing Barat yang diduduki itu.

Orang awam melarikan diri dari kem pelarian di Jenin ketika operasi pencerobohan tentera Israel di bandar itu semalam, 4 Julai 2023. (FOTO: AFP)

Walau bagaimanapun, selepas pengumuman awal tentera Israel mula berundur, operasi ketenteraan kelihatan diteruskan lewat Selasa (4 Julai).

Sementara laporan media turut melaporkan kenyataan Bulan Sabit Merah pada Selasa (4 Julai)  bahawa seramai 117 orang mengalami kecederaan di kem pelarian Jenin akibat operasi serangan berterusan Israel, menyaksikan 12 daripadanya  cedera pada tahap serius dan 33 sebagai sederhana, yang mana pihak Israel  mengakui orang awam antara yang tercedera.

Beribu-ribu penduduk di Jenin juga dilaporkan masih belum pulang ke rumah masing-masing,  selepas berpindah semalaman untuk mengelakkan bahaya serangan pencerobohan tentera Israel. 

Sementara kerosakan di kem pelarian di Jenin sangat serius dan meluas, dengan beberapa jalan raya rosak akibat dirosakkan oleh jentolak Israel, selain kerosakan besar pada rumah dan kereta penduduk Jenin akibat pertempuran itu.

Seorang lelaki berdiri di sebelah kereta yang remuk pada 5 Julai 2023, selepas serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.(FOTO: AFP)

Timbalan Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Nabil Abu Rudeineh dalam pada itu menyeru Amerika Syarikat agar membantu meredakan keadaan kacau-bilau di Jenin.

“Pencerobohan Israel ini harus dihentikan segera oleh Amerika Syarikat. Jika tidak, keadaan itu sangat berisiko, sangat berbahaya untuk mereka dan kami,” katanya dalam temu bual dengan penyampai CNN, Eleni Giokos pada Selasa.

Rudeineh berkata bahawa tentera Israel telah menyerang warga Palestin dan menambah: “Apa yang berlaku adalah benar-benar berbahaya.”

Sementara pakar perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) berkata bahawa tiga hospital diserang semasa serangan tentera Israel ke atas Jenin, dan ‘merosakkan kapasiti operasi serangan mereka dengan teruk’.

Kepulan asap ketika operasi pencerobohan tentera Israel di Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel pada 3 Julai 2023. (FOTO: ReUTERS)

“Tentera Israel juga menghalang ambulans daripada memindahkan mangsa yang cedera semasa serangan ke atas Jenin dan, dalam peningkatan lebih lanjut, tentera Israel menyerbu hospital kerajaan Jenin, melepaskan gas pemedih mata dan peluru hidup”” kata kumpulan hak asasi manusia itu dalam tweet.

“Lima orang awam cedera akibatnya, termasuk tiga dalam keadaan serius. Menurut laporan, bilik kecemasan masih tidak boleh digunakan, dan jabatan hospital lain belum kembali beroperasi seperti biasa,” kata organisasi itu.

“Apabila hospital diserang, dan status perlindungan mereka diabaikan, kerosakan yang terhasil adalah teruk, pesakit dan kakitangan cedera, penduduk kehilangan keyakinan terhadap hospital sebagai tempat perlindungan… dan kepercayaan terhadap kemudahan perubatan, kakitangan, dan keupayaan mereka untuk memberikan penjagaan dan perlindungan hilang,” kata PHRI. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -