Bekas penyerang Liverpool, Firmino sertai Al-Ahli

- Advertisement -

Penyerang Brazil, Roberto Firmino menyertai Al-Ahli secara percuma selepas meninggalkan Liverpool.

“Saya selalu bermain untuk pasukan besar, sekarang saya di Al-Ahli,” kata Firmino dalam video di akaun twitter Al-Ahli.

- Advertisement -

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun dan akan bekerjasama dengan penjaga gol, Edouard Mendy, yang juga meninggalkan Liga Perdana Inggeris selepas tiga musim bersama Chelsea.

Al-Ahli kembali ke Liga Pro Arab Saudi selepas menghabiskan kempen 2022-2023 di divisyen dua, tetapi pasukan itu masih tanpa jurulatih berikutan pemergian Pitso Mosimane.

Firmino menyertai Liverpool pada 2015 dan membantu pasukan itu memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara, Piala FA dan Liga Perdana.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengucapkan selamat tinggal di Anfield pada akhir Mei lalu, menjaringkan gol ke-111 untuk kelab itu pada perlawanan terakhir mereka musim ini.

Firmino menyertai senarai panjang pemain berprofil tinggi yang berpindah ke Liga Pro Arab Saudi dalam beberapa minggu lalu dengan pemain seperti pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema, N’Golo Kante dan Ruben Neves mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo, yang berpindah ke Al-Nassr pada Januari.

Bulan lalu, Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan Kelab Sukan melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.

PIF memiliki 75 peratus daripada setiap empat kelab, manakala yayasan bukan bermotifkan keuntungan, masing-masing memiliki 25 peratus setiap kelab. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!