KOTA BHARU: Pihak yang terbabit dengan insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu diketengah untuk diadili biarpun ia melibatkan seorang menteri.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu menyiasat dan mengambil tindakan tanpa mengira status individu terlibat.
Katanya siasatan perlu dilakukan terhadap semua pihak terbabit termasuk pegawai Imigresen dan menteri.
“Peliknya kenapa hanya seorang pelancong dari China ditahan Imigresen, tiba-tiba menteri sanggup bertindak sehingga mengenepikan peraturan.
“Tindakan seperti itu boleh diangggap mengganggu tugas pegawai Imigresen dan ia suatu kesalahan dan tidak wajar dibiarkan berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini berlaku kekecohan di KLIA susulan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk balai ketibaan antarabangsa untuk membebaskan pelawat dari China yang ditahan Imigresen.
Insiden tersebut turut tular di media sosial sehingga mengundang persepsi pelbagai pihak apabila tiba-tiba menteri mendakwa pegawai Imigresen terbabit dengan rasuah. – HARAKAHDAILY 5/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!