“Dalam menguruskan organisasi, satu perkara yang perlu diamalkan oleh pemimpin adalah fungsi-fungsi elemen pengurusan iaitu merancang, mengatur, memimpin dan mengawal.”
Merujuk kepada sebaris ayat yang disebut oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam portal Berita PAS bertarikh 11 Dis 2020 tersebut, ia boleh dijadikan motivasi ke arah menjadikan sesebuah organisasi itu lebih berdaya maju seiring dengan perubahan masa.
Selain kepimpinan, sudah pasti tunjang sesebuah organisasi ialah pekerjanya, yang menurut artikel berjudul, Kerjasama Pemangkin Organisasi dalam blog pendaftar.upm.edu.my bertarikh 1 Nov 2022, kekuatan sesebuah organisasi sangat bergantung kepada faktor jalinan kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan pekerjanya.
Merujuk kepada artikel tersebut, saiz sesebuah organisasi itu atau jumlah pekerja itu tidak penting, tetapi apa yang utama adalah semangat kerjasama yang perlu disemai dan diterapkan dalam landskap organisasi berkenaan.
“Kerjasama merupakan salah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah organisasi yang tidak harus dipandang enteng oleh pihak pengurusan.
“Tanpa elemen ini, suatu proses kerja yang dilakukan secara individu akan terasa membebankan dan sukar mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Akibatnya organisasi berisiko menghadapi pelbagai masalah, antaranya kelewatan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan, kekurangan sumber maklumat atau kenaikan kos,” ujar kandungan artikel tulisan Nor Azila Azmi itu.
Tambah kandungan artikel itu lagi, pihak pengurusan organisasi wajar membudayakan semangat bekerjasama dalam melaksanakan agenda organisasi dengan melibatkan warganya tanpa mengira hierarki.
“Setiap pekerja mempunyai kemahiran dan pengetahuan masing-masing yang unik dan tersendiri. Apabila sesuatu agenda organisasi dilaksanakan secara berganding bahu, maka akan wujud percambahan minda melalui perkongsian pelbagai idea yang bernas, kreatif dan inovatif.
“Proses kerja yang dilaksanakan secara bersama akan menjadi lebih mudah dan teratur bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ kerana bebanan kerja dikongsi bersama.
“Bertitik-tolak daripada semangat kerjasama yang dibudayakan dalam kalangan pekerja, sesebuah organisasi mampu melahirkan sumber manusia yang dinamik dan berdaya maju.
“Mereka berupaya mencipta inovasi baharu dan seterusnya melakar pencapaian prestasi yang cemerlang untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat organisasi,” ujar kandungan artikel itu.
Prinsip Elon Musk
Menyentuh tentang pelaksanaan agenda organisasi dengan melibatkan warganya tanpa mengira hierarki, salah satu daripada lima prinsip manusia terkaya di dunia, Elon Musk dalam usaha membina sebuah organisasi berdaya maju ialah ‘mengoptimumkan untuk menyelesaikan masalah, bukan hierarki’.
Meneliti prinsip Musk ini, sebagai seorang usahawan, beliau melihat bahawa adalah penting untuk memupuk persekitaran yang mengutamakan penyelesaian masalah berbanding hierarki.
Musk percaya bahawa idea terbaik boleh datang dari mana-mana dalam organisasi dan setiap pekerja dalam sesebuah organisasi harus mempunyai suara.
Dengan mewujudkan struktur organisasi yang lebih rata, syarikat Musk mempromosikan komunikasi dan kerjasama terbuka, yang boleh membawa kepada penyelesaian yang lebih inovatif dan persekitaran kerja yang lebih produktif.
Salah satu faedah mengoptimumkan penyelesaian masalah bagi Musk ialah ia menggalakkan pekerja untuk mengambil alih kerja mereka dan menjadi lebih terlibat dalam mencari penyelesaian.
“Ini boleh membawa kepada kepuasan kerja yang lebih besar dan tenaga kerja yang lebih bermotivasi.
“Selain itu, apabila pekerja digalakkan untuk berkongsi idea mereka dan terlibat dalam penyelesaian masalah, ia boleh memupuk inovasi dan memacu perubahan positif dalam organisasi,” kata Musk.
Pengurusan kewangan strategik
Merujuk pula kepada artikel berjudul, Kelestarian Pengurusan Kewangan Mendorong Kejayaan Usahawan yang tersiar pada 26 Feb 2023 dalam buletin, Caknawan, pengurusan kewangan adalah salah satu aspek teepenting dalam organisasi, bagi mencapai matlamat kejayaan sesebuah perniagaan.
“Aspek paling penting dalam perniagaan yang berjaya ialah pengurusan kewangan yang cekap dan bijak, selain strategi yang berkesan,” ujar kandungan artikel tersebut.
Sementara menurut laman web Investopedia, ia juga dikenali sebagai ‘pengurusan kewangan strategik’ yang mana sesebuah syarikat menguruskan kewangan dengan niat untuk berjaya seperti mencapai matlamat dan objektif jangka panjang; dan juga memberikan nilai yang maksimum kepada pemegang-pemegang sahamnya.
Namun, persoalannya ialah bagaimana ingin memastikan bahawa sesebuah organisasi mengoptimumkan pengurusan kewangan supaya dapat mengurangkan sebarang pembaziran perbelanjaan?
Bagi menjawab persoalan tersebut, HarakahDaily mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Mohd Zaidi Md Zabri.
Menurut beliau, terdapat banyak langkah yang dapat dilakukan untuk mengoptimumkan pengurusan kewangan dalam sesebuah organisasi yang mana bajet adalah langkah pertama dalam melakukan perkara tersebut.
“Apabila melakukan bajet, ia akan memberikan satu perancangan yang jelas dan ini penting kerana setiap organisasi mempunyai saiz yang berbeza,” jelasnya.
Pada pandangan beliau, istilah ‘pukul rata’ tidak boleh dilakukan kepada pelbagai organisasi disebabkan oleh perbezaan organisasi yang terlibat dengan industri berbeza dan bilangan pekerja yang berbeza.
“Dalam Perusahaan Saiz Kecil dan Sederhana (SME) sendiri pun ada pelbagai kategori seperti pembuatan dan servis, tetapi prinsip seperti bajet tetap masih boleh dipakai,” tambahnya.
Tambahan pula, beliau menambah bahawa setiap bajet yang dilakukan perlu mempunyai peramalan (forecasting) sekali kerana setiap industri mempunyai trend tersendiri seperti data keuntungan pada tahun-tahun sebelum ini dan seumpamanya.
“Apabila membuat semula kajian data-data keuntungan dan jualan pada tahun-tahun sebelum ini, maka mudahlah untuk melakukan peramalan untuk membuat keperluan bajet yang sesuai dalam pengurusan kewangan sesebuah organisasi,” jelasnya.
Beliau berkata, langkah tersebut membolehkan mana-mana organisasi melakukan sebarang kos kawalan dan menguruskan perbelanjaan (expenses) dengan lebih efisyen.
“Sekarang ini, terdapat pelbagai aplikasi termasuklan penggunaan Excel yang dapat digunakan untuk melakukan perkara-perkara tersebut tetapi dalam perkongsian ini saya lebih bertumpu kepada SME memandangkan mereka merupakan penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita,” ujarnya.
Pengurusan hutang
Mohd Zaidi juga menekankan kepentingan penjagaan aliran tunai (cashflow) seperti inventori yang mana satukah akan memberi keuntungan yang perlu dikekalkan dan yang mana pula perlu dijual; selain pengurusan hutang yang efisyen.
“Perkara-perkara ini memerlukan strategi yang dinamik kerana bergantung kepada keperluan sesama dan masa depan dalam sesebuah organisasi,
“Sebagai contoh, katakan berlakunya masalah aliran tunai dalam sesebuah syarikat kecil maka boleh berbincang dengan pihak pembekal seperti tempoh 60 hari ditambahkan hingga 90 hari tetapi kena menjaga kepercayaan tersebut walau apa pun,” tegasnya.
Oleh sebab itu, menurut beliau lagi, ‘kesihatan kewangan’ perlu dijaga seperti keseimbangan antara ekuiti dengan hutang dan kena sentiasa membuat penilaian semula seperti cadangan pengambil hutang lebih-lebih lagi dengan berlakunya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan seumpamanya.
“Sekarang kita juga mempunyai platform seperti crowdfunding sebagai alternatif, tetapi apa pun kita perlu melihat bagaimana sesebuah perniagaan itu berfungsi tetapi yang amat penting mesti sentiasa mempunyai pengurusan risiko.
“Dalam membuat bajet pengurusan kewangan, (sesuatu organisasi juga) wajib mempunyai unit pengurusan risiko; dan ini merupakan langkah persediaan lebih-lebih lagi apabila menghadapi risiko-risiko perniagaan yang berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2023