Serangan awam ke-338 di AS: Dua terbunuh, 28 cedera

Seorang anggota polis dan seekor anjing pengesan di lokasi kejadian tembakan di kawasan perumahan awam Gretna Court, Brooklyn, Baltimore, Amerika Syarikat pada 2 Julai 2023. (FOTO: BALTIMORE SUN)
- Advertisement -

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya dua terbunuh termasuk seorang gadis berusia 18 tahun dan 28 yang lain cedera termasuk kanak-kanak dalam serangan tembakan rambang besar-besaran di tempat awam terbaharu dan merupakan yang ke-338 di Amerika Syarikat pada tahun ini.

Serangan tembakan itu kali ini berlaku di sebuah pesta jalanan di kawasan kediaman, Gretna Court pada awal pagi Ahad (2 Jul), waktu tempatan, di Baltimore. 

- Advertisement -

Pemangku Pesuruhjaya Polis Rich Worley dalam sidang akhbar berkata, pihak polis tempatan menerima beberapa panggilan telefon mengenai tembakan rambang berkenaan di kawasan kejiranan Brooklyn di bandar itu sejurus selepas 12.30 pagi Ahad, lapor AFP.

“Setibanya pegawai polis di lokasi kejadian, kami menemui ramai mangsa yang mengalami luka akibat tembakan,” katanya.

“Seorang wanita berusia 18 tahun ditemui mati di tempat kejadian di bandar pelabuhan Pantai Timur, dan seorang lelaki berusia 20 tahun meninggal dunia selepas dibawa ke hospital,” tambahnya.

Menurut Worley, mangsa  yang cedera sedang dirawat di hospital tempatan, dengan tiga daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Worley berkata pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengenal pasti suspek dan motif serangan tembakan berkenaan.

“Ini merupakan tempat kejadian jenayah yang meluas, detektif kami akan berada di sini agak lama,” katanya lagi.

Datuk Bandar Baltimore,  Brandon Scott, bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, mengutuk tembakan itu.

“Ini adalah tragedi yang tidak perlu berlaku,” katanya.

“Ia sekali lagi menyerlahkan kesan dan keperluan untuk menangani percambahan berlebihan senjata api haram di jalanan negara ini dan keupayaan bagi mereka yang tidak sepatutnya mendapatkan kebenaran menggunakannya.

“Kami tidak akan berhenti sehingga kami menemui pengecut yang memutuskan untuk menembak berpuluh-puluh orang dan menyebabkan dua orang kehilangan nyawa,” katanya.

Sementara, menurut Arkib Keganasan Senjata (GVA), dengan bilangan senjata api  lebih banyak daripada jumlah penduduk, AS mempunyai kadar kematian senjata api tertinggi berbanding mana-mana negara maju – sekurang-kurangnya 44,357 pada 2022, termasuk 24,090 kes bunuh diri.

“Insiden terbaharu di Baltimore pada Ahad (2 Jul) itu  adalah serangan tembakan  besar-besaran ke-338 berlaku setakat tahun ini di AS,  yang merujuk kepada ‘insiden berkaitan serangan senjata api yang melibatkan empat atau lebih orang cedera atau terbunuh,” ujar kenyataan GVA.

Baltimore, sebuah bandar dengan kira-kira 575,000 terletak 65 kilometer di utara Washington mempunyai salah satu kadar pembunuhan tertinggi di negara itu. – HARAKAHDAILY 3/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!