Mangsa banjir baru terima Bantuan Wang Ihsan

- Advertisement -

TUMPAT: Biarpun banjir sudah lama berlalu, namun hari ini sebahagian lagi mangsa banjir menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disumbang kerajaan Pusat.

- Advertisement -

Sehingga sekarang sebanyak 80 peratus daripada jumlah peruntukan RM100 juta telah diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) bekas-bekas mangsa banjir.

Sehubungan itu Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas bantuan tersebut.

Katanya bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan sama ada yang berpindah atau tidak berpindah.

“Saya merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan rakyat Kelantan walaupun kejadian banjir telah berlalu.

“Diharap dengan adanya sumbangan tersebut dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan banjir sebelum ini,” katanya selepas majlis penyampaian agihan BWI Mangsa Banjir MTL 2022/2023 bagi jajahan Tumpat di Dewan Mak Jah, Pasir Pekan hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebanyak 64 KIR di jajahan Tumpat yang terkesan dalam kejadian banjir MTL 2022/2023 telah menerima sumbangan berkenaan hari ini.

Pada Disember lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera bantuan banjir berjumlah RM100 juta kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, sebanyak 80 peratus daripada jumlah peruntukan RM100 juta telah diagihkan kepada ketua isi rumah menerusi program Agihan Bantuan Wang Ihsan.

Katanya peruntukan itu membabitkan 73,328 KIR di 10 jajahan di Kelantan yang terkesan dengan kejadian banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023. – HARAKAHDAILY 3/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!