KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Kelantan meminta semua jentera di seluruh kawasan sentiasa melakukan munajat dan doa sebagai persiapan rohani bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Syed Ahmad Ridwan Syed Md Zain berkata, PAS Kelantan sebelum ini melaksanakan program munajat dan doa bagi Kesejahteraan Kelantan.
Katanya selepas Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan pada 22 Jun lalu Dewan Ulama PAS Kelantan mengadakan program munajat dan doa di seluruh kawasan parlimen bagi meraih kemenangan PRN.
“Munajat dan doa bagi kemenangan pilihan raya bermula 24 Jun lalu, di samping itu aktiviti zahir termasuk gantung bendera, ceramah, tampal poster dan sebagainya tetap juga dilaksanakan,” katanya di sini.
Semalam kerajaan negeri dan PAS Kubang Kerian menganjur sambutan Penghayatan Hari Wukuf di Dewan Terbuka Maahad Taqadum Maarif.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Abdul Rahman Yunus, pimpinan PAS kawasan dan ulama serta pelajar dari Pondok Pasir Tumboh.
Syed Ahmad Ridwan berkata, doa dan munajat Sejahtera Malaysia diadakan pada sebelah malam, manakala doa dan munajat kemenangan PRN dibuat pada awal pagi sepanjang tempoh kempen sehingga PRN berlangsung.
Syed Ahmad Ridwan juga berkata sambutan Penghayatan Hari Wukuf memberi makna yang sangat besar kepada perjuangan khususnya untuk memperkemaskan kekuatan umat Islam untuk menghadapi PRN.
“Ikut mana sekalipun kita tidak akan terlepas daripada berdoa dan munajat kepada Allah, dan kita sentiasa mencari masa yang sesuai untuk mustajab doa.
“Munajat Sejahtera Malaysia sudah masuk pusingan keempat bermula di peringkat negeri, dan sekarang kita adakan setiap awal pagi sampai Subuh sehingga berlangsung PRN,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2023