KUALA LUMPUR: Isu keganasan rumah tangga mendapat perhatian Senator Datuk John Ambrose yang meminta kerajaan menyatakan tindakan penguatkuasaan bagi mencegah keganasan rumah tangga.
“Apakah tindakan kementerian, terutama dalam penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kejadian keganasan rumah tangga yang semakin membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, isu keganasan rumah tangga adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Yang Berhormat boleh merujuk kepada KPWKM memandangkan Kementerian Kesihatan berfungsi untuk melakukan rawatan dan juga kes-kes yang dirujuk oleh pihak polis untuk pesakit mendapatkan rawatan seperti dipukul dan kecederaan.
“Ia membabitkan kes keganasan rumah tangga yang dirujuk kepada fasiliti perubatan kerajaan dan antara contoh kecederaan yang dirawat ialah kecederaan fizikal, seksual dan juga psikologi,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2023