KUALA LUMPUR: Senator Mohd Apandi Mohamad mengingatkan kerajaan supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) untuk mengaibkan pihak lawan.
Menurutnya, kerajaan yang memerintah negara sekarang amat jelas tidak stabil.
“Oleh sebab itu, buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengambil kesempatan daripada laporan audit yang kali pertama dibincangkan pada kali ini.
“Jangan ambil kesempatan menggunakan kedudukan itu untuk mengaibkan lawan politik. Buat kerja dengan amanah, sama ada sebagai Speaker (Yang di-Pertua), Senator, Ahli Parlimen dan Insya-Allah, pasti Allah akan tolong kita.
“Kita merancang, Allah merancang tetapi ingat, perancangan Allah lebih kekal dan muktamad,” katanya dalam perbahasan LKAN di Dewan Negara, hari ini.
Menceritakan pengalamannya ketika menjadi Ahli Parlimen antara 1989 hingga 2004, Mohd Apandi berkata, perkara yang sedang dibincangkan atau diadili di mahkamah tidak dibenarkan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, katanya laporan audit yang menamakan individu tertentu menyebabkan masyarakat akan terlebih dahulu membuat penghakiman sebelum individu berkenaan diadili dalam sistem keadilan. – HARAKAHDAILY 27/6/2023