KUALA LUMPUR: Peranan sebagai wakil rakyat adalah begitu besar, kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.
Menurutnya, tanggungjawab yang dipikul itu mesti digalas dengan baik walaupun berat untuk kebaikan dan kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, semalam beliau mengadakan satu pertemuan khas dan kunjungan hormat ke Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian bersama-sama dengan jurutera daerah, Mohd Fisham Abu Basah.
Katanya, pertemuan secara dua hala ini adalah bertujuan membincangkan tentang isu pertanian, isu catuan air di sawah padi di beberapa buah kawasan dan juga beberapa isu terkait tentang sistem perparitan di kawasan itu
Tambahnya, beliau turut mengambil peluang untuk membincangkan tentang kerosakan jalan di ban kiri dan kanan dari Pekan Bagan Serai menghala ke Padang Lalang.
“Surat laporan tentang kerosakan jalan telah saya panjangkan kepada pihak JPS Daerah Kerian dan perkara itu juga telah mendapat perhatian mereka untuk tindakan baik pulih jalan,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.
Walau bagaimanapun, ujarnya ada beberapa prosedur yang perlu dilalui termasuklah sebut harga sebelum kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan.
Menerusi hantaran di Facebook, Ustaz Idris mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JPS kerana sedia berkhidmat untuk rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk menjadi pemudah cara khususnya kepada golongan petani dan orang awam. – HARAKAHDAILY 27/6/2023