
KOTA BHARU: PAS Kelantan sama sekali tidak akan menampilkan mana-mana calon sebagai poster boy pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah sebaliknya berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi Menteri Besar (MB) sekiranya calon yang bertanding itu menang pada pilihan raya yang diadakan.
“Kita (PAS) tidak pernah ada poster boy sejak dahulu sehingga hari ini. Macam mana nak jadi poster boy saya sendiri pun dah tua.
“Saya sendiri pun tidak tahu bertanding atau tidak pada PRN nanti. Bagaimanapun, saya mahu jelaskan tidak ada dalam sejarah PAS istilah poster boy kerana sebarang keputusan akan dibuat PAS Pusat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar selepas merasmikan Karnival Pendidikan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Amar berkata, semua yang menjadi calon dan menang layak untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Namun katanya dari segi peraturan ia akan diputuskan oleh PAS Pusat.
Ditanya mengenai krisis yang melanda kerajaan campuran kata beliau kenyataan yang dikeluarkan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menunjukkan hubungan DAP dan Barisan Nasional (BN) adalah kerana terpaksa.
“Ini menunjukkan hubungan antara DAP dan BN kerana terpaksa dan sekarang sudah nampak apa yang tersorot dalam hati mereka selama ini.
“Kita harap penyokong-penyokong PN mengambil perhatian dan bijak membuat penilaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!