KUALA LUMPUR: Senator Mohd Apandi Mohamad menyarankan kerajaan menyatakan jumlah projek perumahan terbengkalai dan projek sakit dalam bentuk angka.
“Kerajaan silih berganti, jawapan yang diberi (oleh kementerian) sama macam itu saja, boleh tak dengan segala alasan yang diberi oleh kerajaan, kita nak angka sahaja.
“Kalau sekian banyak…berapa puluh ribu, tahun-tahun, berapa dapat diselesaikan kerana jawapan ini, kerajaan mana-mana ini lah jawapannya.
“Jadi sekarang ini, biar rakyat tahu, dalam tiga hingga lima tahun berapa banyak perumahan yang telah selesai?” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bersetuju dengan cadangan Mohd Apandi.
“Saya pun sebenarnya setuju, dari segi kepayahan yang kami (kementerian) hadapi projek rumah ini bukan boleh diselesaikan dengan sekelip mata.
“Jadi, angka yang kementerian kongsikan pada setiap bulan termasuklah kemas kini, sidang media dan saya mohon Yang Berhormat selepas ini boleh ikuti isu (perumahan) dengan lebih rapat supaya ada semak dan imbang di situ,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!