Laluan bertingkat pemangkin pertumbuhan sosioekonomi

- Advertisement -

TUMPAT: Sehingga sekarang di Kelantan terdapat enam laluan bertingkat yang dibina kerajaan Pusat dan negeri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

- Advertisement -

Di Kota Bharu terdapat dua laluan bertingkat iaitu merentangi Jalan Hamzah dari Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jalan Pasir Hor di Kubang Kerian.

Di Tanah Merah laluan bertingkat dibina merentangi bandar Tanah Merah dan terdapat simpang ke Jalan Kusial dan Kampung Manal.

Selain itu di Machang jalan bertingkat dibina melintasi jalan Pasir Puteh-Jeli.

Di Pasir Mas pula laluan bertingkat dibina di laluan Pasir Mas-Tanah Merah dan melintasi landasan kereta api yang menghubungkan Kampung Kubang Panjang-Kampung Lemal.

Laluan bertingkat melintasi landasan kereta api dibina kerajaan negeri.

Dan terbaharu pula jejambat dari bulatan Pasir Pekan melintasi Pekan Wakaf Bharu menghala ke Pengkalan Kubor. Laluan tersebut melibatan kos RM97.6 juta dibuka hari ini.

Projek terbabit yang dibina bermula 19 Februari 2018 dan siap sepenuhnya 15 Jun lalu. Perasmiannya disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, ahli parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi, bekas Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan pegawai kanan kementerian.

Menteri Besar berkata, projek berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan rakyat khususnya di Tumpat, sebaliknya sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi Kelantan.

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya dan semua pihak yang berusaha merealisasikan pembinaan projek terbabit,” katanya pada perasmian terbabit.

Nanta Linggi pula berkata, jejambat terbabit akan menyuraikan trafik dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor pada waktu puncak.

Menurutnya juga projek terbabit dibina secara reka dan bina bagi meningkatkan tahap jalan daripada kategori F kepada C.

“Projek ini meliputi jejambat jalan berkembar empat lorong sepanjang 470 meter dan pelebaran Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2 meter dan Jambatan Alor Kedemit 25 meter,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!