KUALA LUMPUR: Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mendapati seramai 31,140 belia yang berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 sehingga Mei lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Ramkarpal Singh berkata, kerajaan yang prihatin terhadap isu golongan belia muflis telah mengambil beberapa langkah untuk membendung isu berkenaan.
Menurutnya, ini termasuk pengumuman ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, kerajaan memberikan peluang kedua kepada rakyat yang diisytiharkan bankrap, termasuk golongan belia.
Katanya, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil, iaitu di bawah RM50,000 yang memenuhi syarat dapat dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac lalu.
“MdI juga meminda seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 atau (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 September 2021.
“Pindaan ini adalah untuk menetapkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000. Peningkatan had minimum muflis ini secara tidak langsung membantu mengurangkan peratusan bankrap yang didaftarkan dengan MdI, termasuk golongan belia,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan berhubung pelepasan automatik telah diperkenalkan oleh kerajaan pada 2017 di bawah Akta 360.
Katanya, peruntukan pelepasan automatik membolehkan mereka yang bankrap dilepaskan dari kebankrapan dalam tempoh yang singkat, iaitu tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) dengan MdI.
“Kerajaan juga telah membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik ini melalui Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lalu dan di Dewan Negara pada 19 Jun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!