SINGAPURA: Syarikat penerbangan tiga negara berjiran Singapura, Malaysia dan Indonesia menunjukkan kemajuan dan masa depan yang cerah, dengan Singapore Airlines (SIA) mengumumkan keuntungan sebanyak AS$1.6 billion (RM7.48 bilion) untuk tahun kewangan 2022-2023 yang berakhir pada Mac – yang terbesar dalam sejarah 76 tahun operasinya.
Walaupun pengumuman SIA melonjakkan sahamnya ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan memberikan bonus lapan bulan untuk pekerjanya, nasib Garuda dan Malaysia Airlines (MAB) bagaimanapun masih lagi mencabar, namun menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini, lapor CNA.
Ketika Direktur Utama PT Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra pada awal Jun ini menggariskan pemulihan syarikat penerbangan itu daripada pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ahli-ahli politik negara itu dilaporkan bergilir-gilir memberikan pujian terhadap syarikat penerbangan itu – sangat berbeza dengan suasana sama pada tahun 2021.
Pada masa itu (2021), perbincangan mengenai pembubaran dan juga penubuhan pengganti Garuda sedang hangat diperkatakan.
Syarikat itu sedang bergelut, dengan pandemik Covid-19 mebyebabkan penurunan dalam jumlah penumpang sebanyak 90 peratus dan menyebabkan kerugian bersih hampir AS$4 bilion bersama-sama dengan hutang AS$10 bilion kepada vendor.
Namun bersama-sama dengan pembawa bendera jiran yang lain, Garuda kini berada jauh lebih baik, setelah mencatatkan keuntungan sebanyak AS$3.9 bilion pada 2022 – yang terbesar dalam sejarah 74 tahunnya – apabila wabak Covid-19 reda dan sekatan perjalanan dilonggarkan.
Sementara, MAB juga memperoleh keuntungan tahun lepas selepas kerugian berturut-turut sebelum itu, dalam pemulihan yang meningkatkan pendapatannya tiga kali ganda berikutan permintaan kukuh di peringkat antarabangsa.
Prospek perang harga tiket dalam dunia pasca-pandemik kelihatan besar, dengan syarikat penerbangan bersaing untuk mendapatkan sebahagian daripada permintaan mereka yang melonjak untuk perjalanan udara.
Sementara itu, kos untuk memajak, mengendalikan dan menyelenggara pesawat berkemungkinan besar akan meningkat apabila armada yang pernah tidak aktif dihidupkan semula.
Menjelang pandemik Covid-19 sebelum ini, Garuda mahupun MAB tidak berada dalam keadaan terbaik, menyebabkan pakar menyeru Garuda untuk menggunakan pendekatan yang lebih berhati-hati.
MAB pula yang telah lama dibelenggu oleh isu kos yang tinggi, bergelut berikutan kehilangan misteri penerbangan MH370nya; dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, kedua-duanya pada 2014.
Pada tahun itu, dana kerajaan Malaysia Khazanah Nasional mengambil syarikat induk syarikat penerbangan itu, Malaysia Aviation Group (MAG) dalam usaha menyelamatkan hayat MAB.
Menurut kajian Bank Pembangunan Asia (ADB) mengenai kesan wabak itu terhadap sektor penerbangan, pada 2019, MAG berada di kedudukan ke-10 daripada 10 kumpulan penerbangan teratas Asia Tenggara berdasarkan trafik penumpang. – HARAKAHDAILY 25/6/2023