SHAH ALAM: Kuasa politik akan menentukan 11 pemimpin yang akan mencorak dasar kerajaan negeri pada setiap hari Rabu.
Setiausaha Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Selangor, Dr Afif Bahardin berkata, setiap minggu anggota Exco yang dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, akan bermesyuarat.
Katanya, Exco terbabit akan menentukan nasib 6 juta rakyat Selangor.
“Langkah bagi melantikan anggota Exco yang akan mentadbir kerajaan Selangor ditentukan pada PRN tidak lama lagi.
“Mereka diberi tanggungjawab menentukan perkara asas termasuk cukai pintu, penyelenggaran jalan raya, belanjawan negeri dan pelbagai lagi,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Perikatan Nasional (PN) Selangor esok.
Turut hadir Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dan Setiausaha Gerakan Chai Ko Thing.
Dr Afif juga berkata, setiap pengundi di Selangor hendaklah merebut peluang PRN nanti untuk menentukan kerajaan yang akan mentadbir Selangor nanti.
“Satu undi akan menentukan banyak aspek di Selangor. Kefahaman sesetengah pihak politik tidak penting adalah salah, kerana ia akan menentukan dasar sesebuah negeri.
“Pada saya itu sama penting kita mempunyai kad pengenalan untuk mencari rezeki, begitu juga penting keluar mengundi dalam setiap pilihan raya,” ujarnya.
Dr Afif juga berkata Konvensyen PN Selangor akan diadakan esok menghimpun seluruh jentera pilihan raya Bersatu, PAS dan Gerakan.
Himpunan tersebut akan dirasmikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yaasin.
“Rakyat Selangor diajak hadir pada konvensyen tersebut sebagai tanda sokongan dalam menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!