Kerajaan PH tidak sensitif pendidikan Islam

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap tidak sensitif terhadap pendidikan Islam yang dikendalikan pihak swasta apabila pihak berkuasa tempatan PBT di Selangor mengenakan peraturan ketat Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP).

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, sepatutnya kerajaan negeri membantu pengurusan sekolah dan madrasah bagi mendidik generasi Islam.

Katanya, mereka merupakan pewaris dan mata rantai pendidikan Islam pada masa akan datang.

“Imej pentadbiran kerajaan PH-BN sekarang jelas menganaktirikan pendidikan Islam dan memanjakan sekolah lain yang miliki oleh bangsa lain.

“Saya yakin ada dalang di sebalik tindakan PBT di Selangor. Pemimpin kerajaan sanggup berbuat demikian bagi mengekalkan kuasa, sedangkan kedudukan sekarang begitu rapuh,” katanya selepas kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu hari ini.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan tindakan beberapa PBT membebankan pengurusan Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor.

PBT mengenakan syarat termasuk pemasangan hose reel dan tidak boleh beroperasi di bangunan kedai dalam syarat pembaharuan lesen.

Ustaz Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Islam agama rasmi negara yang mesti dijaga sebaiknya.

Oleh itu katanya sudah sampai masanya rakyat menolak kepimpinan kerajaan PH-BN yang ternyata gagal mengurus negara terutamanya ekonomi. – HARAKAHDAILY 23/6/2023