KUALA LUMPUR: Adakah terdapat berlakunya campur tangan orang politik yang mempengaruhi dasar sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP)?
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata walaupun hanya beberapa sahaja PBT yang menukar dasar kelulusan permohonan Sekolah Islam Persendiriaan namun berpotensi untuk merebak ke seluruh PBT di negeri Selangor.
“Tindakan-tindakan sebegini sebenarnya tidak lari daripada pengaruh politik, bahkan sudah tentulah yang mengetuai urusan PBT di peringkat Selangor adalah orang mempunyai kuasa dan pengaruh di peringkat politik,” ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa dasar tersebut akan mewujudkan kebimbangan orang-orang Islam yang sudah biasa dan memilih menggunakan perkhidmatan SIP termasuklah juga di kalangan kalangan pengusaha, guru-guru dan setiap pelajar sekolah tersebut.
“Saya tidak membuat satu tuduhan kepada mana-mana pihak tetapi isu sebegini akan memberikan impak politik yang buruk dan memberi kesan kepada pembelajaran murid serta kebimbangan ibu bapa jika tidak diurus dengan baik,” tegas beliau kepada HarakahDaily.
Apabila ditanya mengenai laporan sebelum ini mengenai kerajaan Selangor yang menafikan langkah pemutihan yang bertujuan menutup sekolah agama dan tahfiz, beliau menyatakan kenyataan tersebut turut bersifat politik.
Ini kerana menurut beliau, kenyataan tersebut seperti terpakai melibatkan sekolah-sekolah tahfiz dan bukannya khusus kepada sekolah-sekolah Islam integrasi persendirian.
“Tidak dinafikan sekolah-sekolah tahfiz di Selangor samada Kerajaan atau swasta tidak ditutup oleh kerajaan negeri tetapi hakikatnya sekolah integrasi yang dijadikan mangsa keadaan. Sebaiknya pihak Exco jangan lari daripada tajuk sebenar isu ini,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan jika langkah pemutihan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor seharusnya memberikan keadilan kepada kedua-dua pihak dan bukan sebaliknya.
“Dalam proses tersebut, sewajarnya diadakan tempoh perbincangan antara kedua-dua pihak iaitu PBT dengan SIP mengenai jalan penyelesaian yang baik.
“Pada ketika itu, tidak boleh diambil tindakan seperti menyekat bantuan-bantuan setiap pelajar, menyekat setiap pelajar daripada menduduki peperiksaan, dan menyekat setiap guru daripada menghadiri taklimat berkaitan pelajaran dan peperiksaan tetapi perkara sebaliknya yang berlaku,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan Selangor seharusnya mendapatkan nasihat mengenai SIP daripada pihak yang lebih arif seperti Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) dan bukannya Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).
“Ini kerana GASIS lebih dekat dengan pengurusan-pengurusan SIP manakala Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) mungkin hanya terlibat dalam pengurusan sekolah-sekolah tahfiz.
“Tambahan pula, terdapat banyak perbezaan antara SIP dengan sekolah-sekolah tahfiz dari segi sistem pendidikan, kokurikulum, kurikulum dan seumpamanya ibarat langit dengan bumi,” katanya.
Beliau menasihatkan kerajaan Selangor terutama exco yang menjaga PBT untuk sentiasa lebih peka dalam menguruskan apa sahaja perkara yang melibatkan sekolah-sekolah tersebut dan berharap masalah sebegini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. – HARAKAHDAILY 23/6/2023