Kelantan harap Harimau Malaya melangkah ke Piala Dunia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Skuad Harimau Malaya apabila berjaya menewaskan Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.

- Advertisement -

Perlawanan itu diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pasukan Malaysia berada pada standard tersendiri apabila dengan mudah membenam Papua New Guinea.

“Kerajaan negeri merakam tahniah di atas kejayaan hebat itu dan kita berharap dengan pencapaian tersebut skuad Harimau Malaya akan bertambah maju,” katanya di sini.

Wan Roslan juga berkata, impian skuad Harimau Malaya menyertai Piala Dunia akan mencapai kejayaan suatu ketika nanti.

Tambahnya, setakat ini skuad berkenaan berjaya memasuki Piala Asia.

“Saya mendoakan semoga Malaysia dapat menyertai Piala Dunia,” ujarnya.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menunjukkan permainan terbaik apabila menuai satu demi satu gol. Empat gol hasil jaringan Arif Aiman Hanafi dan Paulo Josue mencipta hatrik dengan tiga gol.

Gol pertama Malaysia diperoleh melalui sepakan penalti Safawi Rasid pada masa tambahan separuh masa pertama selepas Akhyar Rashid dijatuhkan di dalam kotak penalti. – HARAKAHDAILY 21/6/2023