KUALA LUMPUR: Terdapat 21 projek Pembangunan Perumahan Rakyat (PPR) di Johor dengan 12 projek telah siap dibina membabitkan 11,195 unit rumah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata projek berkenaan telah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pengurusan dan pengisian.
Menurutnya, tujuh PPR masih dalam peringkat pembinaan membabitkan 3,230 unit, iaitu di Parlimen Pasir Gudang, Pengerang, Sembrong, Tebrau dan Tenggara.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian sentiasa memantau status pelaksanaan projek PPR, terutama yang berada dalam kategori lewat jadual. Pemantauan ini dibuat secara berkala melalui mesyuarat dan lawatan tapak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Md Nasir Hashim mengenai satus terkini projek PPR di Johor ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2023 mengumumkan cadangan pembangunan PPR baharu di setiap negeri yang bakal memanfaatkan sebanyak 12,400 penghuni.
Di Johor, katanya kerajaan negeri mengemukakan tiga cadangan tapak dan lawatan tapak telah diadakan ke tiga-tiga tapak itu untuk menilai kesesuaian pada 30 Januari lalu.
Menurutnya, kementerian telah mengenal pasti lokasi untuk PPR di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) dan tindakan sedang diambil melaksanakan pembangunan projek PPR tersebut. – HARAKAHDAILY 21/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!