KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor digesa agar mengambil langkah proaktif bagi memudahkan proses kelulusan permohonan kebenaran operasi Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) dengan kelonggaran syarat yang munasabah dan bersesuaian.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yang berkata pihaknya telah mendapat laporan tentang nasib SIP yang bakal terjejas operasinya akibat pekeliling terkini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, jika perkara berkenaan tidak ditangani dengan penuh hemah, pihak iGuru berasa bimbang nasib 80 buah SIP dan 20,000 murid-murid (di Selangor) bakal terjejas masa depan pendidikan mereka.
Terdahulu, HarakahDaily melaporkan tentang isu tersebut berkenaan pendedahan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) bahawa lebih 80 buah SIP terancam ditamatkan operasi; yang menyebabkan lebih 20,000 pelajar Islam bakal kehilangan tempat belajar. (20,000 pelajar Islam terancam hilang tempat belajar di Selangor)
Perlu babitkan JAIS, JAKIM, PBT
Sehubungan itu, Azizee berkata, pihaknya mencadangkan satu rundingan diadakan melibatkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS), PBT di kawasan MBSA, MBSJ dan MBPJ dan pengurusan SIP terbabit bagi menyelesaikan isu ini secara harmoni dan adil bagi semua pihaak dalam situasi menang-menang (win-win situation).
“Selain itu, perlu dipermudahkan proses kelulusan pendaftaran sekolah dengan pertimbangan syarat -syarat yang wajar samada dalam bentuk kelulusan sementara sebelum mendapatkan kelulusan tetap,” tegasnya.
Tambah beliau, suatu perbincangan segera perlu diadakan dengan dengan pemegang taruh melibatkan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) iaitu Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS bagi memudahkan urusan pengambilan peperiksaan.
“Campur tangan pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) berkaitan dengan peperiksaan UPKK adalah perlu, supaya murid-murid yang akan mengambil peperiksaan dapat diberikan kebenaran mengambil peperiksaan sama ada sebagai calon persendirian mahupun secara menumpang,” ujarnya lagi.
Beliau menyarankan agar kebenaran diberikan buat murid-murid yang bersekolah di SIP untuk mengambil peperiksaan dengan syarat-syarat minimum melalui kelulusan pendaftaran sekolah sementara.
“Pihak iGuru berharap satu penyelesaian komprehensif dan konstruktif dari semua pihak bagi menyelamatkan institusi pendidikan Islam demi kelangsungan pendidikan murid-murid untuk mendapat hak dan jaminan pendidikan sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023