Komitmen ahli parlimen di kawasan amatlah tinggi

- Advertisement -

TUNTUTAN komitmen seorang ahli parlimen di kawasan amatlah tinggi – santuni rakyat, kebajikan rakyat, sosioekonomi rakyat, pembangunan kawasan; di samping tugasan hakiki di Dewan Rakyat untuk menggubal undang-undang dan merencana dasar negara.

- Advertisement -

Hari ini berlangsungnya dua mesyuarat penting di peringkat jajahan Bachok, iaitu Mesyuarat ‘Focus Group’ Kesejahteraan Rakyat dan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan, melibatkan semua wakil rakyat serta jabatan Persekutuan di peringkat daerah, dipengerusikan oleh Ketua Jajahan Bachok.

Alhamdulillah beberapa aduan dan permohonan yang dibangkitkan sebelum ini, telah mendapat perhatian dan tindakan oleh Jabatan terlibat, antaranya:

i. Pembinaan Hospital Bachok – sebelum ini tertangguh, sudah kembali mengikut ‘progress’, dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

ii. Hakisan pantai – kerja pemulihan sudah dimulakan oleh JPS di Pantai Damat, manakala projek lain akan dibawa dalam RP seterusnya.

iii. Kualiti dan keselamatan jalan raya – aduan kesesakan di BB Jelawat, JKR sudah dalam proses tender, kerja akan bermula dalam tempoh terdekat, manakala beberapa projek jalan baharu di Jelawat dan Tawang akan diangkat dalam senarai keutamaan.

iv. Prasarana dan keindahan pantai – penambahbaikan Pantai Irama sudah di tahap akhir oleh pihak JPS, manakala projek pelancongan Pantai Senok akan diangkat dalam senarai keutamaan.

v. Kesesakan di luar sekolah – permohonan untuk kawasan ‘hot spot’ di Jelawat dan Pantai Irama akan diangkat tahun ini.

vi. Pembangunan sektor tani dan lembu sado – bantuan dan bimbingan berterusan oleh pihak Peladang, Veterinar, Mardi dan Mara secara lebih tersusun.

vii. Pembangunan dan kebajikan nelayan – cadangan dan permohonan telah diangkat kepada Exco Pertanian dan LKIM, digerakkan oleh pihak Persatuan Nelayan Bachok.

Pastinya tugasan saya di kawasan tidak mampu dilaksanakan tanpa sokongan YB-YB Adun dan ketua jajahan (DO), serta hubungan baik dengan ketua agensi Persekutuan di peringkat daerah (JKR, IPD, PPD, Kesihatan, Kebajikan, JPS, Bomba, Pertanian, Veterinar, Mara dan lain-lain), juga para penghulu, masjid, dan NGO tempatan.

Dengan rendah diri saya ucapkan terima kasih dan selamat berganding bahu, demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 19/6/2023