Noh Omar umum tidak bertanding PRN

- Advertisement -

BANDAR BARU BANGI: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

- Advertisement -

“Saya bukan nak bertanding pun, orang lain kata Tan Sri Noh itu berkempen nak bertanding. Saya tak bertanding… Insya-Allah saya tak bertanding.

“Saya nak bagi orang muda. Saya dah enam penggal (menjadi Ahli Parlimen)…cukuplah tu, semua dah rasa,” katanya ketika program Jelajah Selangor Baharu dan pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Bangi di sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Dr Afif Bahardin; Pengerusi PN Parlimen Bangi, Mohd Shafie Ngah; Timbalan Pengerusi PN Parlimen Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sebaliknya beliau hendak memastikan PN berganding bahu bersama-sama mengalahkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

“Itulah hasrat saya sejak dalam Umno lagi tuan-tuan,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata ahli Umno juga kecewa terhadap parti itu yang menjalin kerjasama dengan DAP, parti yang ditentang sejak dahulu.

“Orang Umno Tanjong Karang datang ke rumah (Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15), berjumpa dengan saya. Dia kata setia dengan Barisan Nasional (BN), dia kata sorry brother, sorry Tan Sri, saya terpaksa pangkah BN walaupun Tan Sri tak menjadi calon.

“Sekarang saya kata, habis PRN ini nak pangkah siapa? Dia kata akan pangkah PN kerana BN telah kencing (mengkhianati) kita. Ini bukan saya cakap. Orang Umno rasa kecewa. No Anwar No DAP, tiba-tiba eh! Ini saya rasa semua orang faham,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2023